‘Saya teruja, ini satu cabaran’

3 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Azani Omar, menzahirkan rasa syukur dan teruja selepas melapor diri secara rasmi ke jawatan tersebut hari ini.

Menurutnya, pelantikan itu merupakan satu amanah besar dan cabaran baharu dalam kerjaya beliau dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Alhamdulillah, pertama sekali saya bersyukur kepada Allah SWT atas pelantikan ke jawatan baharu ini. Saya anggap ia satu cabaran dan tanggungjawab besar yang perlu saya galas dengan penuh amanah,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas mengenai latar belakangnya, Mohd. Azani berkata, beliau sebelum ini banyak berkhidmat di Unit Tindak Khas (UTK) serta di Istana Negara.

“Saya mula berkhidmat sejak 1998, kemudian ditugaskan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) pada 2001 sebelum melapor di UTK hingga 2015 dan terakhir di Istana Negara.

“Jadi, saya akan cuba berkongsi pengalaman yang saya ada, terutama dalam aspek latihan dan kesiapsiagaan anggota,” ujarnya.

Beliau berkata, komitmennya untuk menyokong dasar dan hala tuju Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin berpengalaman dan berwibawa.

“Saya bertuah dapat bertugas di bawah kepimpinan Datuk Fadil. Buat masa ini, saya masih baharu, jadi saya akan menyesuaikan diri dahulu sebelum membawa sebarang pendekatan baharu, khususnya dalam aspek latihan dan operasi,” katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai reaksi terhadap pelantikannya di ibu negara yang dianggap sebagai ‘pos panas’, Mohd. Azani mengakui beliau tidak terkejut, sebaliknya menganggapnya satu peluang untuk berbakti dengan lebih luas.

“Saya rasa teruja dan menganggap ini satu cabaran. Dengan sokongan kepimpinan dan pasukan yang mantap, saya yakin kita dapat terus memperkukuh keselamatan serta ketenteraman awam di Kuala Lumpur,” katanya.

Bekas Juruiring Polis Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim itu dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur hari ini.

Mohd. Azani menggantikan Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad yang bersara wajib pada 27 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |