PETALING JAYA – Kisah seorang pemandu e-hailing yang memilih kerjaya itu demi memastikan solat jemaah lima waktu terjaga mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen selepas perkongsiannya tular di media sosial.
Menurut perkongsian pengguna TikTok @Toknaga, perbualan antaranya dengan pemandu itu bermula apabila lelaki berusia 50-an tersebut merendah diri dengan menyatakan latar pendidikannya yang hanya setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya ni tak pandai sangat, sekolah sampai SPM. Dapat pangkat empat. Itu yang rezeki saya setakat bawa Grab,” kata pemandu tersebut.
Bagaimanapun, lelaki itu membalas bahawa rezeki bukan ditentukan oleh tahap pendidikan semata-mata, sebaliknya datang daripada Allah SWT mengikut jalan dan keizinan-Nya, selain berkongsi contoh individu lain yang berjaya dengan kelebihan masing-masing.
Perbualan antara mereka menjadi lebih menarik apabila pemandu tersebut menceritakan latar kehidupannya sebelum ini yang bekerja hampir lima tahun membuat murtabak, namun jarang berpeluang menunaikan solat secara berjemaah.
“Saya rindu sangat nak solat jemaah. Walaupun dapat solat, jarang betul dapat berjemaah. Sampai satu hari saya jumpa bos dan minta berhenti kerja,” ujarnya.
Kata pemandu tersebut, keputusan itu pada awalnya tidak dipersetujui isterinya, namun niatnya semata-mata mahu menjaga solat jemaah akhirnya menjadi pendorong utama untuk dia beralih membawa Grab sebagai sumber rezeki.
Menurut pemandu itu, sejak tiga tahun lalu terlibat dalam perkhidmatan e-hailing, dia tidak pernah meninggalkan solat jemaah bermula dari subuh hingga isyak setiap hari, malah akan tiba awal di masjid untuk berzikir sebelum menyambung kerja sehingga malam.
Lebih mengejutkan, pemandu berkenaan berkata kehidupannya menjadi semakin tenang dan rezekinya dipermudahkan, termasuk berjaya membeli sebuah lagi rumah yang dijadikan homestay, selain anak-anaknya membesar dengan baik.
“Saya tak tahu rezeki datang dari mana, saya dapat beli satu lagi rumah dan saya tukar jadi homestay (inap desa). Sekarang ini, orang kata duit tu sentiasa ada lah.
“Anak pun dah besar. Saya pun dah 50 tahun. Kalau isteri nak ajak saya kemana-mana, saya terus je cuti. Senang. Tak ada apa nak dikejar dah. Yang nak dikejar cuma tinggal satu je. Saya nak kejar solat jemaah,” kongsinya.
Perkongsian itu membuatkan pengguna TikTok @Toknaga mengakui dirinya berasa kerdil dan hampir menitiskan air mata ketika berbual dengan pemandu tersebut.
Diana turut menyifatkan pertemuan dengan insan yang baik seperti itu sebagai satu rezeki besar serta peringatan tentang erti sebenar ketenangan hidup.
“Saya pun tak tahu. Yang saya tahu, jumpa orang yang baik-baik macam semakan (baru-baru ini) pun dikira rezeki besar untuk saya. Saya belajar sesuatu. Terima kasih Ya Allah. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1

















































