PETALING JAYA – Bayar pakej umrah premium RM9,990 untuk seorang, namun tiba hari pelepasan ke Tanah Suci, tiket penerbangan didakwa belum dibeli selain terdapat masalah visa, sekali gus hasrat menunaikan ibadah itu terpaksa dibatalkan.
Itu pengalaman pahit dilalui 40 jemaah umrah yang mengambil pakej umrah 12 hari 10 malam dari sebuah agensi di Johor Bahru, Johor dan sepatutnya berlepas ke Jeddah, Arab Saudi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 19 Disember lalu.
Seorang daripada mangsa mahu dikenali sebagai Lina, 40, mendakwa, beberapa hari sebelum pelepasan, pihak agensi dikatakan telah menunjukkan ‘tanda-tanda’, antaranya tiada pemakluman menerusi ‘WhatsApp Group’, malah ejen memberitahu pesawat telah ditukar.
“Dia ‘call’ saya 16 Disember malam dan bagitahu pesawat ditukar kepada Indigo Airways dan perlu transit di India. Saya tanya ‘kenapa?’. Dia kata ada masalah dalaman dan lepas tu, saya jadi tak sedap hati.
“Saya kata ‘kenapa naik Indigo, paling tidak Malaysia Airlines’. Baru dia cerita, syarikat bermasalah dekat setahun. Dia cakap, dia kena scam dengan orang, orang tak bayar. Itu masalah dia, sekarang kita dah bayar RM20,000 untuk pakej premium dua orang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Lina mendakwa, keesokan harinya ejen didakwa memaklumkan, pesawat ditukar lagi kepada AirAsia X dan mendarat di Madinah, sekali gus berbeza dengan tentatif diberikan yang sepatutnya ‘turun’ di Jeddah.
“Dia kata makanan di Indigo bukan makanan Malaysia. Tengah malam saya teringat tentang visa anak. Rupa-rupanya ejen tersebut tak buat lagi, saya marah-marah dia. Pagi itu (18 Disember) saya nekad ke KLIA untuk jumpa dia dan kami bertolak dari Johor Bahru pukul 5 pagi.
“Ejen itu buat (mesyuarat) Google Meet pukul 6.40 pagi sewaktu saya dalam perjalanan ke KLIA, bergabung dengan kumpulan daripada pakej lain,” katanya.
Wanita itu mendakwa, ejen tersebut memberi tiga pilihan kepada mereka iaitu menangguhkan umrah kepada tarikh lain, dikembalikan bayaran atau perlu menambah RM2,100 sekiranya tetap mahu menunaikan umrah pada hari itu.
“Saya pula takkan keluarkan duit lagi. Dah bayar hampir RM10,000 seorang, kenapa nak kena bayar RM2,100 lagi. Saya nak duit saya dikembalikan sebab saya dah tak percaya cakap dia. Dia cakap ‘belit-belit’,” dakwanya.
Lina mendakwa, daripada 40 bakal jemaah umrah yang mengambil pakej premium, enam daripada mereka sanggup menambah bayaran untuk membeli tiket pesawat ke Tanah Suci.
“Dia janji akan bayar balik dalam masa seminggu dan akan bayar penuh pada 25 Disember. Sebelum itu, saya ingatkan dan minta dia ‘refund’ banyak kali. Pada 25 Disember, dia masukkan RM8,000 sahaja dan kata akan usahakan.
“Kami tunggu sehari lagi dan dia masukkan RM4,000, itupun setelah saya ‘push’ tekankan dia nak duit itu. Dia kata ‘tak ada orang tolong dia’, terlalu banyak alasan. Lepas itu dia masukkan lagi RM12,000, jadi mana lagi baki RM7,980. Saya tak boleh sabar, susah berurusan dengan dia,” katanya.
Ditanya mengenai agensi tersebut, Lina mendakwa, dia mengetahuinya selepas berkunjung ke Plaza Angsana Johor pada Oktober 2024 dan kemudian, dia ke pejabat agensi di Johor Bahru bagi menyelesaikan urusan ke Tanah Suci.
“Anak saya ‘check’ agensi ini berlesen dan kami memang berhati-hati memilih. Kini pejabat agensi itu pun telah ditutup.
“Buat masa ini, mangsa-mangsa tidak melaporkan kepada polis kerana kami mengharapkan agensi memulangkan kembali duit kepada kami terlebih dahulu,” katanya.
Pada 27 Disember lalu, Kosmo! melaporkan, impian sekumpulan jemaah umrah untuk menunaikan ibadah berkenaan tidak kesampaian apabila didakwa berdepan pelbagai masalah sewaktu hendak berlepas ke Tanah Suci. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
5










![[VIDEO] Jiran bantu cekup penyamun pecah rumah](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-03-at-3.18.17-PM-e1767426738794.jpeg)








![[VIDEO] Perompak terhormat ‘kontoi’ curi RON95 siap salotape nombor plat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-03-at-9.22.59-AM.jpeg)





























