‘Saya hanya duta sahaja, sedia disiasat pihak SPRM’

2 days ago 9

KUALA LUMPUR – Pelakon senior, Datuk Jalaluddin Hassan akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dipanggil berhubung siasatan kes rasuah melibatkan sebuah syarikat perunding kewangan.

Jalaluddin, 71, mengakui terkejut selepas dimaklumkan mengenai perkara tersebut kerana dia hanya berperanan sebagai duta bagi tujuan promosi.

“Saya hanya duta sahaja untuk hasilkan video dan mempromosikan syarikat itu. Itu sahaja tugas saya dan tidak lebih daripada itu. Bila isu ini timbul, saya agak terkejut.

“Pihak mereka berkata pada saya, kami sebagai duta tidak terkesan apa-apa. SPRM juga belum hubungi saya.

“Tetapi jika dihubungi untuk beri kerjasama, sudah tentu saya akan lakukannya. Tiada masalah, kami boleh bekerjasama. Setakat ini belum ada apa-apa lagi,” katanya kepada Kosmo! Online.

Jalaluddin turut memaklumkan angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor turut menghubunginya bagi bertanyakan perkara sama kerana mereka hanya diberikan tugas untuk mempromosikan peranan syarikat terbabit dalam media sosial.

Pelakon filem Pulang itu juga menegaskan sepanjang bekerjasama dengan syarikat tersebut, tiada isu mencurigakan timbul.

“Saya agak terkejut sebab selama bekerjasama dengan mereka, semuanya baik-baik saja. Bila saya tanya bagaimana keadaan kewangan mereka dari dulu hingga kini, semuanya puas hati dan tiada yang mencurigakan.

“Sepanjang kami bekerjasama semuanya baik-baik sahaja, lebih-lebih lagi bila pertambahan ahli. Kewangannya juga terurus kerana kebanyakannya orang kita,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media jenama pakaian Bulan Bintang, di sini, malam tadi.

Ditanya mengenai jumlah bayaran diterima sepanjang menjadi duta syarikat itu, Jalaluddin menafikan dakwaan kononnya menerima bayaran sehingga RM400,000

“Alangkah bertuahnya saya kalau dapat wang sebanyak itu. Saya tidak mahu cerita, saya menafikan perkara itu.

“Biarlah pihak berkuasa menyiasat. Saya lihat reaksi pihak mereka tenang sahaja. Saya harap semuanya dapat dijernihkan,” dedahnya.

Difahamkan, kontrak Jalaluddin sebagai duta syarikat tersebut adalah selama setahun bermula tahun lalu.

Terdahulu, nama Jalaluddin disebut sebagai antara selebriti yang bakal dipanggil SPRM bagi membantu siasatan dalam operasi Ops Sky.

Usaha SPRM itu bertujuan menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank.

Sebelum ini, Jalaluddin dipilih sebagai salah seorang duta syarikat pengurusan kewangan bersama angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan penwyanyi Ziana Zain. — KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |