PETALING JAYA – Tidak menafikan wujud perbalahan dengan bekas isteri iaitu Adira, usahawan Datuk Seri Adnan Abu bagaimanapun mengakui hubungan mereka kini sudah kembali pulih demi masa depan empat cahaya mata.
Ujar Adnan atau lebih mesra disapa Datuk Red, 47, pertelingkahan yang pernah tercetus tidak wajar dibiarkan berpanjangan sehingga menjejaskan emosi anak-anak.
“Kami berdua sekarang sudah okey. Saya dengan Adira ni lebih kepada kawan, lebih kepada menjaga hubungan baik. Bila dah berpisah dan tak boleh rujuk kembali, kami tetap tak boleh bermusuh sampai bila-bila kerana kami ada anak.
“Kami kena profesional. Tak ada masa nak turun naik mahkamah. Jadi kami ambil jalan paling baik untuk anak-anak. Takkan nak tunjuk contoh tak elok pada mereka.
“Tapi kita kena percaya juga, kalau dah jodoh, takkan ke mana. Buat masa sekarang saya tak fikir apa-apa. Fokus saya anak saja. Jadi kami berbaik untuk anak, tak lebih daripada itu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditanya tentang pengalaman menunaikan umrah dan baru sahaja pulang ke tanah air semalam, Adnan menyifatkan kunjungan pertamanya ke Tanah Suci sebagai momen paling menyentuh hati dalam hidupnya.
“Alhamdulillah, umur 47 tahun baru pertama kali jejak kaki ke rumah Allah. Pengalaman tu beri tenaga luar biasa untuk saya.
“Saya ni manusia pendosa, banyak buat silap. Bila sampai umur begini, Allah masih beri kesedaran dan kekuatan.
“Saya dah berjanji pada diri, balik nanti saya akan selesaikan apa yang sepatutnya saya selesaikan,” ujarnya.
Paling penting katanya, banyak doa dipohon sepanjang berada di Tanah Suci.
“Doa pertama saya adalah untuk selesaikan hutang. Lepas tu saya doa untuk kumpulkan semua anak di bawah satu bumbung. Insya-Allah.
“Memang seronok, air mata tu jatuh sendiri. Saya tak sangka boleh jejak ke rumah Allah sebab status saya yang bankrap.
“Kalau guna duit sendiri, mungkin orang berhutang bising. Tapi Allah jemput bukan kerana saya ada duit atau tidak. Allah jemput sebab kasih. Syukur sangat,” kongsinya pada majlis Meet & Greet Jakel, di sini, semalam.
Kemunculan ahli perniagaan Datuk Red sebagai ‘lelaki misteri’ yang diperkatakan sebelum ini turut mencuri perhatian ramai.
Kehadirannya bukan sahaja menghangatkan acara, malah menjadikan Datuk Red dan Que Haidar topik perbualan hangat di media sosial sehingga peminat melabel mereka sebagai Duda Hot 2025.
Datuk Red pula mengakui aura pengunjung mencetuskan pengalaman yang sangat positif sepanjang sesi itu berlangsung.
Sebelum ini, Adira mengesahkan memang berlaku perbalahan antara mereka namun memilih untuk tidak mendedahkan punca sebenar.
Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 3 Disember 2015 sebelum bercerai pada 24 April tahun lalu.
Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
3

















![[VIDEO] Sanggup berhujan bersih longkang elak tersumbat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/LONGKANG-TERSUMBAT-RIDER.jpeg)































