‘Saya berani junjung al-Quran, tak pernah pukul isteri’

5 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Dituduh melakukan keganasan rumah tangga, pelakon Kamal Adli berani bersumpah dengan menjunjung al-Quran bagi menangkis dakwaan memukul isterinya, Uqasha Senrose sepanjang empat tahun perkahwinan mereka.

Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, mengakui hairan apabila hanya baru sekarang Uqasha mendedahkan dakwaan yang disifatkan sebagai fitnah semata-mata.

“Saya tak tumbuk dia, saya dah biasa. Dah agak benda ini ‘game’ (tuduhan). Demi Allah, saya berani junjung Quran, saya tak pernah pukul, tak tarik rambut isteri saya. Demi Allah saya berani junjung, letak atas nama mak ayah saya.

“Kenapa baru sekarang nak cerita apa semua? Ada bukti apa? Ya Allah, saya tak takut pun. Lapor polis atau apa sebab saya tak pukul.

“Tak apalah, saya tak kisah orang nak fitnah, sebab dia masih isteri saya,” katanya ditemui selepas prosiding Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Begitupun, pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu berkata, dia akan bertahan selagi mampu untuk menyimpan aib keluarga selagi Uqasha masih menjadi isterinya.

“Dia isteri saya, dia orang yang saya kahwin atas dasar cinta, secara paksaan. Saya masih tak buka lagi apa-apa fasal isteri, cukup hanya saya yang simpan.

“Tapi saya rasa (sekarang) terlalu melampau. Kalau dia betul nak saya ceraikan dia, sampai tahap itu dia buka semua hal-hal sebegitu. Pada akhirnya kalau prosedur ini tiada persetujuan, insya-Allah akan putus juga,” katanya.

Pada masa sama, Kamal berkata tuduhan dilemparkan sebagai dakwaan serius apatah lagi keluar daripada mulut isterinya, sekali gus enggan maruahnya terus diinjak-injak.

“Sejujurnya banyak perkara yang disimpan dan dipendam. Pergi jumpa orang ini, cerita itu ini, buka (cerita) buruk saya kat sini. Menjatuhkan maruah saya. Orang cakap, itu datang daripada mulut isteri saya sendiri.

“Bila saya cakap depan-depan, dia cakap bukan daripada dia. Bila peminat atau sesiapa, dia boleh balas dan boleh burukkan saya? Saya tak pernah cakap apa dan saya diam,” katanya.

Hanya pertahankan rumah tangganya demi puteri mereka, Hawra Uqaira, katanya, isu rumah tangga mereka sebenarnya sudah selesai secara dalaman.

“Semua ini demi Hawra. Saya duduk dengan dia, saya tengok dia dan saya tahu saya tak nak dia ada ‘broken family’, itu sahaja. Saya tiada isu pun.

“Hal-hal fasal kami bergaduh semula
ini, kami sudah bersemuka depan mata dengan keluarga masing-masing dan tak nak buat dah. Tapi saya sabar saja.

“Cuma hari ini saya rasa saya kena tegas bukan main-main. Saya datang sini saya nak pertahankan rumah tangga. Saya tak burukkan dia pun,” katanya.

Pada prosiding hari ini, Uqasha dan Kamal hadir bagi menjalani JKP susulan Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |