GEORGE TOWN – Tourism Malaysia menyasarkan ketibaan hampir satu juta pelancong kapal persiaran melalui Pelabuhan Pulau Pinang sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan peningkatan semula industri kapal persiaran antarabangsa serta usaha berterusan kerajaan memperkukuh Pelabuhan Pulau Pinang sebagai hab utama cruise di rantau ini.
“Bagi 2026, kita menyasarkan ketibaan pelancong kapal persiaran hampir satu juta orang, berbanding kira-kira 700,000 orang penumpang pada 2025.
“Ini menunjukkan trend pemulihan yang sangat positif pada tahun ini,” katanya selepas menyertai sambutan pelancong kapal persiaran di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) sempena VM2026, di sini hari ini.
Selain di SPCT, sambutan khas turut diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Stesen KTMB Butterworth bagi mengalu-alukan ketibaan pelancong bersempena pelancaran rasmi kempen VM2026.
Program sambutan VM2026 hari ini merupakan sebahagian daripada inisiatif serentak Tourism Malaysia di 55 pintu masuk strategik seluruh negara, termasuk lapangan terbang, pelabuhan dan hab pengangkutan utama, bagi menyemarakkan semangat hospitaliti rakyat Malaysia serta meningkatkan kesedaran awal terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut Soon Hin, Pulau Pinang kekal sebagai antara destinasi utama kapal persiaran di Malaysia dengan rekod sekitar 1.5 juta penumpang kapal persiaran pada 2024 sekali gus membuktikan potensi besar negeri itu dalam sektor pelancongan maritim.
Tambahnya, bagi tahun 2026, Malaysia turut menjangkakan sekitar 170 ketibaan kapal persiaran antarabangsa ke Pulau Pinang, meningkat berbanding sekitar 120 kapal pada 2025.
Dalam usaha merancakkan lagi ketibaan pelancong, beliau berkata, Tourism Malaysia juga akan memperluaskan skim Geran Sepadan Penerbangan Charter (GSPC) yang sebelum ini tertumpu kepada penerbangan udara untuk turut merangkumi sektor kapal persiaran.
“Buat pertama kali, geran ini akan diperluaskan kepada sektor kapal persiaran sebagai insentif kepada pengusaha kapal persiaran, operator dan ejen pelancongan untuk membawa pelancong masuk melalui laluan laut,” jelasnya.
Katanya, peruntukan keseluruhan geran berjumlah RM50 juta, melibatkan kedua-dua sektor penerbangan dan kapal persiaran, sebagai langkah strategik menarik lebih ramai pelancong berbelanja tinggi ke Malaysia.
Mengulas aspek promosi, Soon Hin berkata, Tourism Malaysia akan terus mempergiat promosi digital, kolaborasi bersama pempengaruh serta penganjuran festival makanan bagi mengetengahkan pelancongan gastronomi, khususnya di Pulau Pinang yang sinonim sebagai syurga makanan.
“Pulau Pinang memang terkenal dengan makanan. Kita mahu menggalakkan kreativiti supaya makanan tradisional dapat dipersembahkan secara lebih moden tanpa menjejaskan identitinya,” katanya. KOSMO! ONLINE

2 weeks ago
20


![[VIDEO] Rupa-rupanya dia nak jadikan bumi Anbiya itu rumahnya – Suami Nadia Kesuma](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/Tangkap-layar-video-Muhammad-Kamarul-tengah-bersama-pihak-Nuh-Travel-semasa-di-KLIA-Sepang-sebelum-berlepas-ke-Jeddah-petang-tadi..jpeg)











































