SABAK BERNAM – Seramai 100,000 pelancong dari luar negara khususnya disasarkan mengunjungi kawasan 25 lokasi desa menerusi Pakej Lengkap Desa Kirana menjelang akhir tahun depan.
Inisiatif ini bertujuan memastikan penduduk desa turut mendapat manfaat ekonomi daripada industri pelancongan, selain mempromosikan budaya dan seni di kawasan desa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak mahu pelancong-pelancong yang berpendapatan tinggi hanya lawat dan nikmati destinasi pelancongan bandar atau pinggir Bandar dan meminggirkan desa atau luar bandar.
Menurutnya, pelancong khususnya dari Jepun dan Korea menunjukkan minat tinggi untuk meneroka kehidupan desa.
“Pakej ini membolehkan pelancong mengalami budaya, seni, tradisi, kulinari dan suasana perkampungan.
“Kita tidak mahu masyarakat desa hanya menjadi penonton tanpa mendapat manfaat ekonomi daripada kehadiran pelancong, ” katanya ketika berucap mengumumkan Pakej Lengkap Desa Kirana di Dataran Batu 23, Sungai Nibong, Sekinchan di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan sasaran ini adalah permulaan bagi memacu pembangunan industri pelancongan desa pada tahun-tahun berikutnya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta pengusaha inap desa untuk menjayakan produk pelancongan berkaitan.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan pengusaha inap desa dan ketua kampung, sama ada secara individu, koperasi atau melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), supaya terus menjaga lokasi yang dipromosikan agar tidak terbiar selepas promosi Tahun Melawat Malaysia berakhir.
“Ini supaya promosi itu tidak berjalan dalam jangka pendek sahaja dan tempat itu dibiarkan begitu selepas Tahun Melawat Malaysia.
“Ini kerana saya merasa sedih apabila datang semula ke beberapa inap desa di Selangor, Negeri Sembilan dan beberapa kawasan lain semasa Pemukiman Jemaah Menteri mendapati ia tidak dijaga kerana semua pengusaha ketika itu berada di umur maghrib (yang telah tua), ” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3

















































