SARA, MyKad perkukuh pendigitalan bantuan rakyat

2 hours ago 1

PETALING JAYA – Pelaksanaan program penghargaan rakyat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 sejak 31 Ogos lalu telah menjadi sorotan utama dalam landskap bantuan sosial negara.

Sambutan dicapai amat luar biasa, dengan jumlah jualan sebanyak RM745.7 juta, melibatkan 11.8 juta penerima dalam tempoh lapan hari pertama yang mencerminkan keyakinan dan keterujaan masyarakat terhadap inisiatif kerajaan MADANI ini.

Program buat semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas itu menandakan perubahan besar ke arah sistem bantuan digital yang mudah, telus dan inklusif, yang mana MyKad menjadi alatan tunggal bagi setiap rakyat Malaysia mengakses manfaat yang diperuntukkan.

Keistimewaan SARA terletak pada pendekatannya yang mudah dan bersifat terus kepada rakyat.

Tiada borang atau pendaftaran diperlukan. Hanya dengan menye­rahkan MyKad kepada juruwang di kaunter pembayaran, rakyat dapat menebus bantuan dalam bentuk pelbagai barangan keperluan asas.

Pengguna media sosial berkongsi barangan yang dibeli menggunakan bantuan SARA untuk membuat kek batik

Mekanisme ini bukan sahaja menjamin ketelusan, malah menutup ruang penyelewengan, memberi gambaran bagaimana teknologi dimanfaatkan untuk memelihara dana awam demi kepen­tingan rakyat.

Tidak dapat dinafikan bahawa permintaan luar biasa terhadap SARA telah menyebabkan berlakunya gangguan sistem pada peringkat awal pelaksanaan.

Walau bagaimanapun, gangguan ini bukan mencerminkan kelemahan, sebaliknya tanda kejayaan apabila jutaan rakyat berpusu-pusu mahu menebus bantuan diberi secara serentak, satu bukti jelas akan keberkesanan inisiatif ini.

Pada masa sama, Kerajaan me­ngakui cabaran teknikal yang timbul dan melihatnya sebagai ujian stres yang berharga untuk infrastruktur digital negara.

Dalam tempoh hanya beberapa hari, pelbagai penambahbaikan dilaksanakan termasuk peluasan kapasiti sistem pemprosesan sehingga kadar transaksi berjaya mencapai tahap stabil 99.9 peratus. Inilah naratif sebuah kerajaan yang belajar, mendengar dan terus memperbaiki diri bersama rakyat.

Pusat penyelidikan Social & Economic Research Initiative (SERI) antara yang mengalu-alukan komitmen kerajaan melalui SARA.

Menurutnya, antara kekuatan inisiatif ini termasuk penebusan mudah melalui MyKad, kategori item yang luas dan sepadan de­ngan keperluan isi rumah sebenar, serta peluasan rangkaian peniaga yang menyokong inisiatif berke­naan.

“Jumlah urus niaga yang kukuh (RM110 juta dalam masa dua hari) menunjukkan bagaimana isi rumah bersikap responsif apabila sistem berfungsi dengan baik,” katanya.
Pengerusi SERI, Dr. Helmy Haja Mydin menambah, perlindungan sosial digital adalah arah yang betul.

Kemudahan penebusan bantuan SARA turut ditempatkan di lokasi strategik seperti di PPR Desa Rejang, Setapak.

“Untuk menjadikannya berdaya tahan, kita perlu membina kepercayaan menerusi reka bentuk yang dibina sejak awal, sistem yang teguh, komunikasi yang telus, rangkaian peniaga yang kukuh, dan akauntabiliti yang jelas kelihatan,” ujarnya.

Selain itu, banyak kisah inspirasi terhasil daripada penerima manfaat. Ada anak muda tempatan dengan daya keusahawanan tinggi yang menggunakan bantuan SARA sebagai modal kecil untuk memulakan perniagaan.

Penerima lain memanfaatkan kredit diberi untuk membeli bara­ngan asas, sekali gus meringankan perbelanjaan harian. Kisah-kisah ini menunjukkan bahawa walaupun jumlah bantuan secara relatifnya tidak besar, ia tetap mampu memberi impak positif kepada kehidupan apabila digunakan dengan bijak.

Seorang pengguna Threads, Farraheeda berkongsi anaknya yang berumur 22 tahun menggunakan bantuan RM100 sebagai modal bisnes kek batik ketika cuti semester.

“Dia nak buat kek batik indulgence, berbungkus-bungkus beli biskut marie, Milo dan susu. Saya sponsor duit beli bekas saja,” ujar­nya yang mengundang pelbagai respons positif daripada pengguna media sosial.

“Kadang-kadang ada orang tak ada modal nak mulakan bisnes. Kalau menguntungkan boleh pulang modal dan kalau tak jadi pun, tak rugi sebab modal dari Sara,” kata Sheerawr.

“Sama dengan saya, saya pun beli buat modal. Seronok dapat beli bahan free ini,” kata Leenzy Ibrahim.

“Saya pun terus guna beli barang keperluan sikit untuk buat modal jualan kuih. Nanti pulang modal boleh jual nasi lemak pula,” ujar Najwa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pada itu menegaskan bahawa SARA bukanlah penyelesaian tunggal dalam menangani tekanan kos sara hidup, tetapi sebahagian daripada pendekatan menyeluruh kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

Dengan peruntukan besar mencecah RM15 bilion bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA tahun ini, kerajaan berusaha memastikan jaring perlindungan sosial negara lebih kukuh dan inklusif.

“Isu kos sara hidup kekal sebagai antara keutamaan Kerajaan MADANI, di mana melalui pendekatan subsidi bersasar, pelaksanaan program seperti SARA, dan pelbagai bentuk bantuan langsung kepada rakyat, kerajaan akan memastikan setiap bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |