PONTIAN – Seorang lelaki resah apabila kehilangan pendapatan RM1,200 sebagai pekerja kilang selepas penyakit buah pinggang yang dihidapinya sejak tujuh tahun lalu makin melarat hingga memaksanya menukar rawatan dialisis darah kepada air.
Mohd. Hazrul Aris, 40, berkata, penyakit itu membuatkannya tidak mampu bekerja seperti biasa kerana perlu melakukan proses rawatan setiap hari seperti diarahkan doktor.
Katanya, dia kini bergantung kepada pendapatan isteri, Nurul Azila Ahmad Ami, 39, sekitar RM500 sebulan dengan membuat kuih dan makanan ditempah penduduk.
“Saya berharap penyakit ini akan sembuh walaupun akan mengambil masa lama kerana saya mahu bekerja dan membantu sara keluarga.
“Banyak belanja perlu dikeluarkan untuk penyakit ini dan sekolah dua anak berusia 10 serta 14 tahun selain tambang dan makan minum setiap hari,” katanya sebak ketika ditemui di Kampung Parit Selangor di sini semalam.
Menurut Mohd. Hazrul, dia turut mendapat bantuan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Baitulmal dan Pertubuhan Keselamatan Sosial.
Mohd. Hazrul ditemui ketika menerima kunjungan Veteran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) dan Persatuan Kebajikan Prihatin Pontian (PKPP) untuk menyampaikan bantuan masing-masing.
Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Presiden Veteran MAYC, Datuk Nasir Safar dan Pengerusi PKPP, Datuk Ng Sea Bu.
“Saya juga terima bantuan air dialisis sebanyak 30 kotak bagi kegunaan sebulan yang dihantar oleh pihak hospital dan tiada bayaran dikenakan,” katanya.
Sementara itu, Sea Bu berkata, persatuannya akan menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama bagi membantu mereka yang kesusahan.
Katanya, dana yang diterima oleh PKPP merupakan sumbangan daripada orang ramai, tokoh korporat dan syarikat-syarikat yang kemudian dikembalikan kepada orang ramai dalam pelbagai bentuk termasuk wang tunai.
“PKPP turut juga membantu mereka yang ditimpa sakit berpanjang, mereka yang ditimpa bencana seperti kebakaran, rumah dilanda ribut, sumbangan bagi golongan pelajar miskin dan sebagainya,” katanya.
Orang ramai yang mahu membantu Mohd. Hazrul boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional miliknya di 011-22410001108022 atau menghubunginya di talian 012-733 9390.