Saiful nilai semula prestasi Young Tigers

3 hours ago 3

JURULATIH skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menegaskan tempat kelima Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 bukan ukuran sebenar kemampuan pasukannya, sebaliknya menjadi medan penting untuk memperkemas persiapan ke Piala Dunia Remaja 2025.

Katanya, kejohanan yang berlangsung selama seminggu itu memberikan banyak ruang penilaian terhadap aspek taktikal dan fizikal, terutama selepas pasukannya berdepan lawan bertaraf tinggi seperti England, Australia dan Jepun.

“Kita dah nampak apa yang perlu diperbaiki. Dalam beberapa perlawanan, kelemahan satu lawan satu masih ketara, terutama dari segi saiz badan dan kekuatan fizikal berbanding pasukan lain. Tapi dari sudut kemahiran dan kepantasan, kita tidak jauh ketinggalan,” katanya.

Menurut Saiful, pemain muda negara perlu menyesuaikan corak permainan dengan kekuatan sebenar pasukan yang lebih efektif secara kolektif.

“Kita kena main sebagai satu unit. Kalau bermain secara individu, sukar untuk bersaing di peringkat dunia. Tapi bila bermain sebagai pasukan, kelebihan kita lebih menyerlah,” katanya.

Jurulatih itu turut memuji komitmen pemain termasuk aksi terakhir menentang New Zealand menyaksikan Young Tigers mempamerkan semangat juang tinggi untuk menamatkan kempen di tangga kelima.

“Kita juga uji beberapa strategi baharu sepanjang kejohanan. Ada yang menjadi, ada juga yang perlukan masa untuk diperhalusi. Tapi saya puas hati dengan usaha mereka kerana semua beri yang terbaik,” jelasnya.

Dalam masa sama, Saiful turut mengesahkan rangka pasukan ke Piala Dunia Remaja di India bulan depan hampir lengkap dengan 15 pemain sudah dianggap tonggak utama skuad.

“Kita akan bawa 20 pemain ke India, jadi sekarang tinggal lima tempat terakhir yang masih terbuka. Persaingan masih sihat antara pemain,” katanya.

Dia juga percaya pengalaman SOJC akan menjadi bekal berguna buat skuad muda negara untuk memperbaiki kelemahan menjelang kejohanan dunia nanti.

Terdahulu, Young Tigers menutup kempen SOJC 2025 di tempat kelima selepas menewaskan New Zealand 5-3 dalam perlawanan penentuan minggu lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |