PETALING JAYA – Bekas bintang Harimau Malaya, Safee Sali meneruskan misinya membangunkan bakat bola sepak akar umbi menerusi penganjuran Piala MommyHana Safee Sali Superkids 2025 di Stadium MPAJ, Pandan Perdana berlangsung pada 27 Disember 2025 ini.
Ia adalah kesinambungan kepada kejayaan inisiatif bola sepak belia terdahulu iaitu Piala Super Safee Serenia dan mencerminkan komitmen jangka panjangnya dalam membentuk pemain muda melalui pertandingan tersusun serta aktiviti bola sepak berkonsepkan karnival menyeronokkan.
Safee, yang turut mengasaskan Super Safee Soccer School di beberapa lokasi seluruh Malaysia, berkata, kejohanan itu menawarkan lebih daripada sekadar persaingan kepada pemain muda.
“Piala MommyHana Safee Sali Superkids 2025 direka sebagai platform untuk kanak-kanak bersaing, belajar, menikmati bola sepak serta merasai suasana karnival sebenar bersama keluarga.
“Ini adalah kesinambungan daripada apa yang kami bina menerusi Piala Super Safee Serenia, satu ruang untuk kanak-kanak membina keyakinan sambil berseronok,” kata Safee.
Para peserta bakal merebut piala, pingat, anugerah MVP serta baucar wang tunai dengan hanya lapan pasukan dibenarkan bagi setiap kategori umur untuk memastikan suasana persaingan yang kompetitif dan menyeronokkan.
Kejohanan itu mempertandingkan empat kategori iaitu 5 lawan 5 bawah 8 tahun (B-8), 7 lawan 7 B-10, 9 lawan 9 B-12 dan 9 lawan 9 B-14.
Acara itu turut mendapat tajaan utama daripada MommyHana dengan ketua pegawai eksekutifnya, Mohd. Farid Mohamed Sangido menyatakan sokongan penuh terhadap pembangunan belia melalui sukan.
“MommyHana berbesar hati dapat bekerjasama dengan Safee Sali dalam penganjuran acara yang bermakna ini. Kanak-kanak adalah nadi kepada apa yang kami lakukan dan kejohanan ini selari dengan misi kami untuk memberi inspirasi kepada generasi muda.
“Kami berharap inisiatif ini dapat menyemai keyakinan, semangat berpasukan dan kegembiraan dalam diri setiap peserta,” katanya.
Penglibatan MommyHana dalam Superkids Cup merupakan lanjutan semula jadi kepada visinya dalam membangunkan kanak-kanak secara holistik, bukan sahaja dari sudut akademik, malah merangkumi kesihatan fizikal, kesejahteraan emosi dan perkembangan intelektual.
Sebagai jenama yang menggabungkan elemen keseronokan, teknologi dan nilai-nilai Islam dalam pembelajaran kanak-kanak, MommyHana percaya sukan adalah platform penting dalam pembentukan sahsiah dan kemahiran sepanjang hayat.
Kolaborasi itu menyatukan elemen bola sepak, aktiviti mesra keluarga dan penglibatan komuniti, dengan aspirasi untuk menjadikan Piala Superkids sebagai acara tahunan dalam kalendar bola sepak belia negara. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
4


![[VIDEO] Habitat banjir, gajah sesat berkeliaran di jalan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/18721b8f-a24c-4703-a3b3-5316b9ac63ac-e1766063264551.jpeg)





![[VIDEO] 10 jam tunggu keluar KLIA, pasport tertinggal dalam pesawat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-18-at-6.16.31-PM.jpeg)








































