Runsing penjaja jual jajan seakan deodoran di hadapan sekolah

11 hours ago 7

PETALING JAYA – Seorang ibu meluahkan rasa marah terhadap penjaja di hadapan sekolah rendah anaknya yang didapati menjual pelbagai jajan ‘viral’ membahayakan.

Menerusi hantaran Thread @Nurfifiliana_, jajan yang dijual itu menyerupai deodoran dimana kanak-kanak perlu menjilat atau menghisap untuk meminum air daripada botol berkenaan.

Paling mengejutkan, wanita itu berkata anak lelakinya hampir tertelan bola jajan deodoran itu ketika mahu menghisapnya.

“Semalam masa ambil anak balik sekolah tengok dia tengah sedut-seduh benda alah ni. Ingatkan buat apa, rupa-rupanya ni jajan yang dia beli depan sekolah.

“Jajan ni sama macam deodoran tau. Dalam tu ada air. Nak minum air kena jilat atau nyonyot. Semalam anak sedut sampai hampir terlepas bola tu dalam mulut dia,” tulisnya.

Menurut ibu tersebut, dia sudah beberapa kali memarahi anaknya supaya tidak membeli jajan di hadapan sekolah selain sudah mencatu duit belanja harian.

“Bukan tak pernah beri amaran supaya jangan membeli tapi budak-budak ni banyak kali pesan bukan dia dengar. Saya bagi duit pun RM4 je kat dia.

“Memang ngam-ngam untuk makan dekat sekolah. Tapi dia memang akan simpan sekurang-kurangnya RM1 untuk membeli balik dari sekolah,” katanya.

Tambah wanita itu, dia juga telah memberi amaran kepada peniaga yang menjual jajan tersebut malah beberapa kali pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan sitaan.

Namun katanya peniaga yang dipercayai bukan warga tempatan itu masih berdegil dan meneruskan perniagaan di hadapan sekolah dengan menjual pelbagai jajan.

Antara yang dijual di hadapan sekolah di Sri Rampai, Kuala Lumpur itu adalah sosej, ‘corndog’ serta megi yang juga tidak diketahui status halalnya.

“Saya pun dah marah supaya tak jual benda mengarut macam ni. Macam mana lagi cara supaya peniaga ni tak berniaga dah depan sekolah?

“Ibu bapa semua dah naik pening tak tahu nak buat apa, sama juga dengan PIBG. Dah buat laporan ke DBKL tapi kadang mereka datang semasa peniaga dah balik,” luahnya.

Kata wanita itu lagi, pihak sekolah juga telah melarang sebarang penjaja menjual makanan di hadapan sekolah termasuk telah meletakkan papan tanda amaran namun masih tidak dihiraukan.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai ibu bapa yang terkejut melihat jajan jenis tersebut mula dijual kepada kanak-kanak.

“Saya tak pernah nampak jajan jenis macam ni. Terima kasih kongsi, lepas ni saya boleh pantau,” komen Latifah.

“Pihak berkuasa kena buat sesuatu sebelum seseorang jadi mangsa. Hentikan penjaja tersebut,”⁠- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |