RSF serang tadika, lebih 100 terkorban

4 hours ago 3

KHARTOUM – Pasukan Sokongan Pantas (RSF) membunuh lebih 100 orang awam di bandar Kalogi, wilayah Kordofan sambil turut menyembunyikan puluhan ribu kematian penduduk di El Fasher, lapor agensi berita United Press International.

Pasukan RSF membunuh 114 orang termasuk 46 kanak-kanak dalam serangan dron Khamis lalu, demikian menurut Kementerian Luar Sudan.

“Serangan itu adalah sebahagian daripada kempen genosid berterusan yang dijalankan oleh militia RSF terhadap komuniti Sudan,” katanya.

Ia berkata, serangan awal di Kalogi, Kordofan Selatan menyasarkan sebuah tadika dengan roket yang dilancarkan dari dron dengan tujuan membunuh sebilangan besar kanak-kanak.

Tambahnya, pasukan separa tentera itu melancarkan satu lagi serangan terhadap tadika tersebut apabila penduduk tempatan bergegas ke sana selepas serangan pertama. Ia mengorbankan lebih ramai orang dan kanak-kanak.

Ahli RSF juga dilaporkan mengejar mangsa dan petugas perubatan dari sebuah hospital tempatan serta menyasarkan bangunan kerajaan menggunakan roket. Ia meningkatkan jumlah kematian kepada 114 orang.

“Membunuh kanak-kanak di sekolah adalah satu pelanggaran hak kanak-kanak yang dahsyat,” kata wakil Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Sheldon Yett dalam satu kenyataan Jumaat lalu.

“Kanak-kanak tidak sepatutnya menanggung akibat konflik,” kata Yett sambil menambah, semua pihak harus segera menghentikan serangan dan membenarkan akses bantuan kemanusiaan selamat sampai kepada penduduk memerlukan.

Seruan untuk bantuan kemanusiaan itu dikeluarkan susulan serangan ke atas lori Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang merupakan sebahagian daripada konvoi 39 trak yang menghantar bantuan kemanusiaan di Darfur Utara.

“Sungguh mengejutkan melihat sejarah berulang di Kordofan sejurus selepas peristiwa mengerikan di El Fasher,” kata Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |