KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menegaskan rombakan Kabinet yang akan dilaksanakan selepas ini hanya melibatkan beberapa jawatan sahaja dan nama untuk mengisi kekosongan itu telah disenarai pendek.
Bagaimanapun kata Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau masih terbuka untuk menerima pandangan daripada pihak lain mengenai rombakan kecil itu.
Jelasnya, beliau tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan walaupun ia merupakan prerogatifnya sebagai Perdana Menteri.
“Saya sedang memikirkan mengenai rombakan itu. Saya tidak mahu tergesa-gesa. Saya perlu meneliti kerana saya masih mendengar (pandangan) dan saya belum berbincang dengan semua ketua parti lagi.
“Walaupun keputusan ini adalah prerogatif saya, saya berterima kasih dan menghargai bahawa mereka menyatakan itu hanyalah pandangan mereka dan akhirnya, saya yang perlu membuat keputusan. Saya juga sudah ada (senarai untuk rombakan itu),”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku Rethinking Ourselves: Justice Reform and Ingorance in Postnormal Times di Pavilion Bukit Jalil hari ini.
Anwar berkata, beliau juga belum bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai isu rombakan tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pelantikan baharu itu akan diputuskan selepas pertimbangan yang teliti, berdasarkan kepentingan rakyat dan agenda reformasi negara.
Malah kata beliau, rombakan Kabinet itu bukanlah rombakan besar, sebaliknya hanya untuk mengisi beberapa jawatan menteri yang kosong.
Pada masa ini, terdapat empat kekosongan dalam Kabinet, dengan portfolio tersebut sedang diuruskan sementara oleh menteri-menteri lain.
Jawatan yang masih kosong adalah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Menteri Ekonomi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.-KOSMO! ONLINE

9 hours ago
5

















































