Ribut Goretti badai Eropah, bawa angin 160 kilometer sejam

16 hours ago 5

LONDON – Angin kencang, salji dan suhu beku melanda Benua Eropah dengan ketibaan Ribut Goretti kelmarin, mendorong agensi meteorologi dari Britain hingga ke Jerman untuk mengeluarkan amaran cuaca buruk.

Pejabat Meteorologi Britain mengeluarkan amaran angin merah iaitu tahap amaran tertinggi untuk Kepulauan Scilly dan Cornwall di barat daya England antara pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi (waktu Malaysia).

“Angin yang luar biasa kuat mencapai kelajuan 160 kilometer  sejam dijangka berlaku,” kata agensi berkenaan sambil menambah, ombak sangat besar mendatangkan bahaya di kawasan pantai.

Ia juga mengeluarkan amaran salji tebal  di Wales, tengah England dan bahagian utara England dengan  meramalkan salji sehingga 30 sentimeter turun di beberapa kawasan.

Jabatan Kereta Api United Kingdom  menyatakan, perkhidmatan tren akan terjejas sepanjang dua hari akan datang dan meminta orang ramai mengelak daripada melakukan perjalanan tidak perlu.

Di Perancis, pihak berkuasa  bersiap sedia untuk menghadapi Ribut Goretti  dengan sekolah di negara itu ditutup semalam, manakala amaran cuaca buruk dikeluarkan di 30 wilayah di barat laut negara itu.

“Cari  perlindungan dan jangan gunakan kenderaan anda,”  demikian menurut amaran di  wilayah Manche di X yang turut menggesa penduduk menyediakan lampu kecemasan dan bekalan air minuman.

Cuaca ekstrem di Eropah menyebabkan sekurang-kurangnya lapan kematian setakat ini.

Di Jerman pula , salji tebal dan angin kencang dijangka menjejaskan sekolah, hospital dan rangkaian pengangkutan.

Salji setebal 15 sentimeter diramal melanda utara Jerman, manakala cuaca berais dijangka berlaku di selatan negara itu, Perkhidmatan Cuaca Jerman (DWD).

Suhu hujung minggu ini boleh menjunam serendah -20 Celsius  di kawasan tertentu, kata ahli meteorologi DWD, Andreas Walter. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |