Ribuan orang teruja Sukhoi gayakan corak Jalur Gemilang

1 day ago 8

ALOR SETAR – Ribuan orang teruja apabila menyaksikan pesawat pejuang Sukhoi Su-30 MKM dengan corak cat atau livery Jalur Gemilang di ruang udara bandar raya ini pada semalam.

Corak cat baharu tersebut adalah bersempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) pada 20 hingga 24 Mei ini.

Pesawat berkenaan tiba di sini kira-kira pukul 10 pagi semalam dan menampilkan latihan penerbangan solo selama kira-kira tujuh minit.

Elemen bulan sabit dan bintang serta warna Jalur Gemilang memberikan penampilan patriotik dan segar serta bakal menonjolkan identiti negara dalam acara antarabangsa itu.

Terdahulu, beberapa pesawat Sukhoi Su-30 MKM dan F/A-18D Hornet berlepas ke Pangkalan Udara Butterworth untuk latihan Opening Gambit sempena LIMA’25.

Latihan bersambung pada hari ini dengan pesawat Sukhoi keempat tiba di Alor Setar. Orang ramai dilihat terus memenuhi kawasan luar pagar Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH).

Penduduk Langgar, Marliah Musa, 35, berkata, dia membawa dua anak lelakinya ke Kepala Batas untuk menyaksikan persembahan pesawat pejuang negara.

“Memang tidak sangka kami berpeluang tengok Sukhoi dengan corak dan warna Jalur Gemilang. Bila tengok rasa teruja dan bangga sebagai anak Malaysia.

“Anak-anak memang seronok sangat dan dalam minggu ini saya dah bawa mereka ke sini beberapa kali untuk tengok dengan lebih dekat jet pejuang kita,” katanya.

Peniaga dari Perlis, Azran Mohamad, 26, berkata, dia datang dengan lima rakan seawal pukul 7 pagi untuk melihat kehebatan Sukhoi dan Hornet.

“Saya tunggu sampai petang dan memang puas hati bila tengok persembahan Sukhoi yang tangkas. Saya ambil kesempatan ini kerana tidak dapat ke LIMA di Langkawi kerana berniaga,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |