PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga lain gagal dalam rayuan untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan kerajaan yang memberhentikan peruntukan dana bagi perbelanjaan kebajikan rakyat di kawasan Parlimen berkenaan.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Hashim Hamzah selepas menolak rayuan Syed Saddiq dan tiga lain selaku perayu selain mendapati permohonan semakan kehakiman yang difailkan perayu pada 23 April 2024 adalah jelas di luar tempoh masa ditetapkan.
Dalam penghakimannya, panel berpendapat Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini tidak terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila menolak permohonan ketiga-tiga perayu pada prosiding terdahulu.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Semasa prosiding, Syed Saddiq serta tiga pihak lain itu diwakili peguam Lim Wei Jiet manakala Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan dan Peguam Persekutuan Ng Wee Li mewakili kerajaan selaku responden.
Pada 23 April tahun lalu, Syed Saddiq dan tiga lain yang merupakan pengundi di kawasan Parlimen Muar iaitu Najib Abu Nawar, Mohd. Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri selaku memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Lim Wei Jiet dengan menamakan Perdana Menteri Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.
Mereka memohon perintah bagi membatalkan keputusan memberhentikan atau membatalkan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta yang sepatutnya disalurkan secara terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan untuk program kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bencana bagi kawasan Parlimen Muar.
Selain itu, mereka memohon membatalkan keputusan kedua-dua responden membatalkan akses pemohon pertama (Syed Saddiq) terhadap sistem myKHAS yang menguruskan permohonan peruntukan pembangunan RM2 juta untuk kawasan tersebut serta keputusan membatalkan beberapa projek secara kolektif berjumlah RM230,300 yang dimohon oleh pemohon pertama dan diluluskan dalam sistem myKHAS untuk peruntukan pembangunan RM2 juta.
Mereka juga memohon untuk membatalkan keputusan kedua-dua responden, yang enggan meluluskan atau memberikan apa-apa peruntukan kepada pemohon pertama sebagai Ahli Parlimen Muar untuk program di bawah ‘Projek Mesra Rakyat’ ataupun yang seumpama dengannya bagi tahun 2024.
Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan responden-responden melanggar hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan Parlimen itu yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, pada Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Syed Saddiq dan tiga lain untuk memulakan prosiding semakan itu.
Mahkamah Tinggi ketika itu memutuskan demikian selepas mendapati permohonan yang dibuat keempat-empat selaku pemohon itu melebihi tempoh masa selain ia adalqh remeh dan menyusahkan. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2
















![[VIDEO] Dipaksa makan daging babi, minum arak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/IMG_0524.jpeg)
































