PUTRAJAYA – Nasib bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony yang dihukum penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atas sabitan memalsukan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan 11 tahun lalu akan diketahui esok di Mahkamah Rayuan di sini.
Keputusan rayuan akhir Peter, 54, sama ada beliau berjaya mengetepikan sabitan dan hukuman atau kekal bersalah akan ditentukan
oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang telah selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.
Sebelum ini mahkamah menetapkan keputusan rayuan berkenaan pada 27 November 2024 namun tarikh berkenaan dipinda kepada 9 Januari sebelum ditangguhkan lagi ke 7 Februari.
Mahkamah kemudiannya menetapkan keputusan rayuan kes itu ditetapkan pada 4 Mac iaitu esok.
Sepanjang prosiding sebelum ini, Peter selaku perayu diwakili peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mewakili pendakwaan selaku responden .
Terdahulu, pihak pembelaan semasa hujahan menyatakan, bahawa pertuduhan terhadap anak guamnya selaku perayu adalah cacat kerana tiada tandatangan pada kertas pertuduhan.
Beliau berkata, mengikut Seksyen 172 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ), semua pertuduhan yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi hendaklah dibawa atas nama pendakwa raya dan ditandatangani.
Sementara menjawab persoalan pihak pembelaan itu, pihak pendakwaan berkata, ketiadaan tandatangan pada kertas pertuduhan tidak membawa kepada satu salah laksana keadilan atau ‘miscarriage of justice’.
Menurutnya, pertuduhan yang dikemukakan, sama ada asal atau dipinda, telah dibacakan dan diterangkan kepada perayu.
“Perayu juga memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya, maka ketiadaan tanda tangan pada kertas pertuduhan hanyalah satu ketidakmasukan atau ‘omission’ yang tidak boleh dianggap sebagai salah laksana keadilan.
“Terma tersebut kebiasaanya digunakan apabila seseorang tidak mendapat satu perbicaraan yang adil,” katanya.
Pada 19 April 2023, Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lepas, dan ini merupakan rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache menolak rayuan Peter, setelah bersetuju dengan dapatan hakim bicara Mahkamah Sesyen, bahawa ahli politik itu memalsukan dokumen bagi mendapatkan projek di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sedangkan tertuduh mengetahui projek itu dibuat melalui tender terbuka.
Dia sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, di Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda. – KOSMO! ONLINE