PETALING JAYA – Seorang peniaga makanan berkongsikan kisah menyentuh hati apabila gerainya didatangi oleh empat lelaki warga emas yang baru sahaja dibebaskan dari penjara.
Menerusi hantaran Yayar B. Awang Noh di Facebook, kejadian berlaku ketika dua daripada mereka sedang membeli kuih, manakala dua lagi menghampiri gerai nasi miliknya.
Salah seorang lelaki itu bertanya dengan sopan, “Dik, kuah jual tak? Berapa ya paling murah boleh kuah?” Melihat keadaan mereka yang serba kekok dan berpakaian seragam berwarna sama dengan nombor pada baju, peniaga tersebut secara berseloroh bertanya dari mana asal mereka.
“Kami baru keluar jel…” jawab salah seorang dengan tenang.
Menyedari situasi itu, peniaga tersebut segera menghulurkan bantuan kecil dengan senyuman.
Tanpa banyak bicara, peniaga mengambil plastik dan mengisi kuah masak lemak cili api bersama seketul ayam sambil berkata, “Tidak apa, kalini saya belanja pakcik,”
Tidak cukup di situ, apabila seorang lagi lelaki ingin membeli bebola daging berharga RM3, peniaga itu menambah, “Saya masuk 10 biji, nanti makan ramai-ramai, saya belanja juga,”
Menurut pemilik hantaran itu, salah seorang daripada mereka sempat berkata bahawa setelah lama di dalam penjara, mereka terasa ingin makan segala jenis makanan yang dilihat di luar.
“Allhamdulillah, mereka sudah jalani hukuman dan kini dalam peluang kedua. Semoga pakcik-pakcik gunakan peluang ini sebaik mungkin,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen mendapati ramai yang mendoakan keempat-empat banduan tersebut dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik selain turut memuji tindakan peniaga tersebut
“Nak nangis pula baca. Manusia mana tak buat salah kan. Kita sebagai manusia jadikan pengajaran Semua pak cik semua tu baik-baik sahaja. Dan orang tak pulaukan mereka,” kata Dian Zizi.
“Alhamdulillah terbaik peniaga macam ni. Semoga anda pun dilimpahkan rezeki yang melimpah ruah,” komen Salmy.
“Mesti dorang rindu nak makan masakan luar sebab tu nak makan semua tu. Semoga jadi insan lebih baik untuk negara,” komen Amirah pula.
Sehingga kini hantaran tersebut mendapat lebih 1,400 tanda suka dan 16 perkongsian. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
4








![[KEMASKINI] ‘Saya hubungi bapa mentua 30 kali tidak berjawab’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-29-at-3.35.57-PM-e1761726179178.jpeg)








































