Ranjau Sepanjang Jalan tawan penggemar teater Kedah

5 hours ago 1

ALOR SETAR – Karya agung Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad, Ranjau Sepanjang Jalan kembali mengisi dunia teater ­Kedah dengan pementasan istimewa sempena program Pe­nyemarakan Teater: Karya Tea­ter 2025.

Pementasan teater yang menyentuh perasaan itu dijayakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah de­ngan kerjasama Persatuan Teater Alor Setar (Pentas) di Auditorium JKKN Kedah selama dua malam bermula Jumaat lepas.

Pengarah JKKN Kedah, Saba­rina Masadi berkata, pementasan teater itu diharapkan menjadi platform untuk generasi muda khususnya mendekatkan diri dengan karya Sasterawan Negara yang tinggi nilai kesenian dan budayanya.

“Naskhah ini dipilih kerana ia tulisan Sasterawan Negara yang juga merupakan anak jati Kedah. Kisah Ranjau Sepanjang Jalan ini yang pernah dijadikan sukatan pelajaran sekolah. Karya ini diangkat dengan hasrat untuk memperkenalkan kembali kepada masyarakat, khususnya ge­nerasi muda tentang keindahan serta kedalaman karya sastera tempatan yang menyentuh akar kehidupan rakyat.

“la juga menjadi medium untuk menyemarakkan kembali minat terhadap seni teater tempatan sebagai satu bentuk ekspresi budaya yang mampu membina jati diri bangsa,” katanya ketika ditemui selepas pementasan teater tersebut semalam.

Beliau menambah, pementasan teater tersebut juga melalui proses yang cukup teliti dan berstruktur apabila ia turut mengetengahkan bakat tea­ter dalam kalangan penduduk ­negeri ini di samping pendukung utama, pelakon Hairie Othman dan penggiat teater.

“Pihak produksi mengadakan sesi uji bakat terbuka kepada pelakon-pelakon muda dan bakat baharu sekitar negeri Kedah. Proses ini bukan sahaja berjaya menarik minat ramai anak muda, malah menjadi platform bagi mereka menonjolkan bakat lakonan serta membina keyakinan diri dalam dunia teater,” ujarnya.

Tambahnya, sambutan yang diberikan agak menggalakkan terutama apabila JKKN Kedah terpaksa membuka slot pratonton untuk penonton yang gagal memperoleh tiket teater ber­kenaan.

Dalam pada itu, menurut Hairie yang menghilang dari dunia lakonan sebelum ini, tawaran untuk berlakon dalam naskhah agung Sasterawan Negara itu sukar diketepikan, malah mengujakan.

“Ini adalah percubaan terkini dan pertama kali saya mencuba teater. Cabaran saya menjayakan watak utama, Lahuma mengambil masa lama untuk latihan kerana berlakon teater bukan seperti drama atau filem yang ada sun­tingan ini terus saja kalau silap-silaplah.

“Apa pun, saya merasa teruja kerana dapat bersama menjayakan teater ini yang asalnya dari penulis Sasterawan Negara orang Kedah dan yang menjayakannya juga rakan-rakan saya,” kata pelakon filem Leftenan Adnan itu.

Ranjau Sepanjang Jalan mengisahkan tentang perjua­ngan Lahuma (Hairie Othman) dan Jeha (Schya Syukor) suami isteri petani melawan kemiskinan, penyakit dan keperitan hidup, namun kekal tabah de­ngan semangat dan kasih sayang tidak berbelah bahagi.

Kisah ini berlatarkan suasana kampung padi yang serba kekurangan, yang mana Lahuma dan Jeha berjuang mencari rezeki di sawah mereka yang sering dilanda bencana.

Read Entire Article
Pertanian | | | |