SEPERTI tahun-tahun sebelumnya, 2025 tidak terkecuali daripada menyaksikan satu demi satu keruntuhan mahligai pasangan selebriti yang dibina atas dasar cinta. Ada yang berbulan-bulan naik turun mahkamah, ada juga yang tanpa ribut tiba-tiba sahaja sudah berpisah seperti yang terjadi kepada pelakon Rebecca Nur Islam dan bekas suami, Datuk Norazam Sulaiman.
Perceraian Amylea Azizan bersama Mohammad Aqbar yang berasal dari Singapura serta Aprena Manrose dan suami juga tidak kurang mengejutkan.
Ternyata, di sebalik senyuman manis di lensa kamera dan hantaran romantis dalam media sosial, tersimpan seribu satu duka yang tidak terluah. Berbaki hanya tidak sampai 24 jam sebelum 2025 menutup tirai, Kosmo! menyingkap tirai duka keruntuhan rumah tangga selebriti tempatan sepanjang tahun ini.

FARID KAMIL-DIANA DANIELLE
KEMELUT rumah tangga pasangan pelakon Farid Kamil dan Diana Danielle menemui noktah apabila mereka sah bercerai talak satu pada 24 Mac lalu.Pasangan itu mencapai kata sepakat untuk bercerai secara baik dan sempat bersalaman di pekarangan mahkamah usai prosiding sebagai tanda perpisahan yang matang.
Pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson itu meluahkan rasa lega selepas segala urusan selesai selain menegaskan mahu memberi fokus terhadap dua anak mereka iaitu Muhammad, 11 dan Nur Aurora, 9.Ini merupakan kegagalan kedua buat mereka selepas pernah rujuk pada 2024, membuktikan jodoh yang dibina sejak 3 November 2012 itu tidak lagi mampu bertahan.

SHUK SAHAR-FARA SALLEH
HANYA bertahan selama dua tahun, mahligai pelawak Shuk Sahar dan Fara Salleh terlerai pada April lalu. Difahamkan, Shuk atau nama sebenarnya Mohamad Shukri Mohamed Sahar itu melafaz cerai talak satu terhadap Fara menerusi panggilan telefon.
Bagaimanapun, Fara, 33, memaklumkan tidak mengetahui punca sebenar diceraikan selain memaklumkan Shuk melafazkan talak ketika berada di Thailand. Proses perceraian mereka dilaporkan masih belum disahkan mahkamah syariah kerana dakwa Fara, suaminya gagal hadir bagi proses siasatan pengesahan perceraian.
Fara mengejutkan ramai apabila menyatakan kekesalan terhadap institusi perkahwinan seolah-olah memberi bayangan mengenai keberantakan rumah tangganya dengan Shuk yang belum pun mencecah setahun.
Fara dan Shuk, 38, mendirikan rumah tangga pada November 2023 dan ini merupakan perkahwinan kedua pelawak itu. Mereka baru sahaja dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Elaine Nada yang dilahirkan pada 26 Jun lalu.

NINA ISKANDAR-AZLAN
PADA April lalu, peakon Nina Iskandar mengesahkan sudah bergelar ibu tunggal selepas bercerai dengan bekas suami, Azlan Adzanan tahun lalu.
Katanya, mereka sudah tidak tinggal sebumbung sejak pertengahan tahun 2022 namun menegaskan perceraian bukan disebbakan kewujudan pihak ketiga. Nina berkahwin dengan Azlan yang merupakan penolong pengarah drama pada April 2019.

HAFIZ SUIP-NUREFFY
SELEPAS sekian lama membiarkan spekulasi meliar, penyanyi Hafiz Suip akhirnya mengesahkan sudah bercerai talak satu dengan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 29 Mei lalu.
Menurut Hafiz atau nama lengkapnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, perpisahan tersebut berlaku disebabkan tiada lagi persefahaman antara mereka. Bagaimanapun, pelantun lagu Ku Akui itu menegaskan hubungannya dengan bekas isteri kekal baik.
Dia juga memberikan hak penjagaan kepada bekas isteri kerana menganggap ibu merupakan tempat perlindungan terbaik bagi anak-anak. Hafiz dan Nureffy mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8 dan Mihammad Alkaf Zayne yang kini berusia 5 tahun.

FARISHA IRWAYU-TUAN ASMAWI
SELEPAS lama menyepi dari dunia hiburan, pelakon Farsiha Irwayu mengesahkan sudah berpisah dengan bekas suaminya, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar pada 13 Mei lalu selepas lapan tahun melayari bahtera bersama. Menurut Farisha atau nama lengkapnya Norayu Ghazali, 56, mereka bercerai secara ‘fast track’ di Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur atas persetujuan bersama.
Suasana menjadi lebih panas apabila Farisha turut mengucapkan selamat pengantin baharu buat Tuan Asmawi sekali gus memberi gambaran bekas suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain. Dia juga memaklumkan wanita berkenaan kini sudah boleh menjadi isteri pertama dan mendaftarkan perkahwinan mereka secara sah.

APRENA MANROSE-AFIQ HAZMAN
TEKA-TEKI mengenai keberantakan rumah tangga pelakon Aprena Manrose terjawab apabila dia mengesahkan sudah bercerai dengan Mohd Afiq Hazman pada 15 Jun lalu.
Enggan menjelaskan secara terperinci punca dan tarikh bercerai, pemilik nama lengkap Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 32, memaklumkan sudah berusaha mempertahankan rumah tangga namun berakhir dengan jalan buntu.
Meski berat untuk menerima realiti, Aprena berkata dia tetap mendoakan yang terbaik buat bekas suami selain meminta orang ramai dapat mendoakan kehidupan baharunya. Aprena dan Afiq mendirikan rumah tangga pada 12 November 2016 namun tiada rezeki untuk menimang cahaya mata.

ZEHRA ZAMBRI-NUR IQWAN
SELEPAS lima bulan naik turun mahkamah, akhirnya penyanyi Zehra Zambri dan Nur Iqwan sah bercerai talak satu pada 20 Ogos lalu.
Sebelum ini, Zehra memfailkan cerai secara ‘fast track’ terhadap suaminya selepas mendakwa berkorban mempertahankan rumah tangga selama tiga tahun. Namun, Iqwan tidak bersetuju dengan cara tersebut sebaliknya menawarkan khuluk atau tebus talak sebagai jalan penyelesaian.
Pada 14 Julai, Proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) gagal mencapai kata sepakat sehingga mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak melantik hakam. Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 11 November 2021 dengan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia dua tahun.

ALONG CHAM- AFREENA
BARU sahaja selesai pertuduhan berkaitan pemilikan dadah disyaki kanabis, pelawak Along Cham memfailkan dan membuat pengesahan lafaz cerai taklik terhadap bekas isterinya, Afreena Suhaimi.
Selepas setahun naik turun mahkamah, pasangan itu menoktahkan perkahwinan mereka pada 30 September lalu di Mahkamah Syariah Sepang. Hakim Syarie, Muhammad Nazri Basrawi mengesahkan berlaku lafaz talak dalam perkahwinan Along bersama Afreena pada Jun tahun lalu.
Pada 1 Julai lalu, pemilik nama sebenar Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, mengemukakan tiga sebab utama yang menyebabkan lafaz taklik terhadap bekas isteri yang jatuh pada Julai 2024.
Dakwanya, Afreena melanggar tiga syarat yang diberikan sejak awal perkahwinan seperti menghubungi bekas isterinya, berlaku curang serta membelakangkannya dalam segala urusan rumah tangga. Pasangan yang bernikah pada 4 April 2024 itu berpisah tanpa kehadiran zuriat sebagai pengikat kasih.

AMYLEA AZIZAN-MOHAMAD AQBAR
TIADA angin tiada ribut, penyanyi Amylea Azizan mengesahkan sudah bercerai dengan bekas suaminya, Mohammad Aqbar. Bagaimanapun, Amylea, 38, tidak memperincikan tarikh bercerai dan menyatakan sudah menyelesaikan tempoh idahnya.
Ketika bertemu media, pelantun lagu Tak Pernah Hilang itu mendedahkan rumah tangga mereka berdepan masalah sejak lima bulan selepas diijab kabul. Amylea mendirikan rumah tangga dengan Aqbar atau lebih dikenali sebagai Ash pada 27 November 2023.

ARASH MOHAMAD-AFIDAHWATI
DUNIA hiburan dikejutkan dengan berita perceraian pelakon Arash Mohamad dan bekas isterinya, Noor Afidahwati Mohammad selepas hampir 17 tahun mendirikan rumah tangga.
Menurut Afidahwati, 43, keputusan berpisah bukan dibuat dalam amarah, sebaliknya diterima dengan reda selepas menelusuri pelbagai ujian dalam rumah tangga. Afidahwati dan pelakon filem Tembus itu mendirikan rumah tangga sekitar 17 tahun lalu, namun belum dikurniakan rezeki zuriat sepanjang perkahwinan mereka.

NUBHAN-DR. AFIFAH
RUMAH tangga penyanyi Nubhan dan Dr. Afifah Hidayah yang dibina selama sedekad akhirnya terlerai apabila sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 2 Disember lalu. Difahamkan, Nubhan melafazkan cerai kali pertama pada 19 Januari 2017 dan rujuk semula pada 21 Januari tahun sama manakala lafaz cerai kedua pada 26 Ogos lalu.
Dr. Afifah atau mesra disapa Dr. Fie menarik nafas lega apabila memperoleh hadanah hak penjagaan penuh tiga anaknya. Nubhan dan Dr. Fie yang merupakan seorang doktor gigi itu mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Aafiya, 8, Ahmad Affan, 6, dan Afzan Nayille yang kini berusia tiga tahun.

DAYANA ROZA-A’DELE
PELAKON Dayana Roza menjadi nama terakhir yang mengisi diari duka 2025 apabila mengesahkan perceraian dengan A’dele Adham pada 18 Disember lalu. Mengulas mengenai perceraian, pemilik nama penuh Nur Dayana Kamsun Baharin, 34, memaklumkan hubungan mereka sudah tiada persefahaman.
Dayana mendirikan rumah tangga bersama A’dele yang juga seorang usahawan pada 25 Disember 202 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Astrid Raheeya, 4 dan Aryan Andika, 2 tahun.

REBECCA NUR AL ISLAM-AZMAN SULAIMAN
TIADA angin tiada ribut, pelakon Rebecca Nur Al Islam memberi bayangan rumah tangga dibina bersama Datuk Nur Azman Sulaiman sudah menemui noktah. Tanpa perincikan tarikh dan punca perceraian, Rebecca, 39, meluahkan rasa reda dengan perpisahan itu selain mendoakan kesejahteraan lelaki tersebut yang berkongsi hidup bersama selama 18 tahun.
Pelakon filem Embun itu turut menukar bio Instagram dengan kapsyen ibu tunggal kepada tujuh anak. Selepas sebulan umumkan perceraian, Rebeccca memaklumkan bahawa dirinya sudah selesai melalui tempoh idah. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 14 Januari 2011 dan dikurniakan enam cahaya mata dan membesarkan anak angkat, Nor Adam Daniel yang berusia 16 tahun.

MAS IDAYU-SUFIAN
SELEPAS empat tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi Mas Idayu sah bercerai dengan bekas suaminya, Sufian Che Isa pada 4 Mac lalu. Pemilik nama lengkap Mas Idayu Mesnun, 53, itu bagaimanapun enggan mendedahkan punca perceraiannya dengan Sufian yang merupakan seorang penerbit di stesen TV3 kerana tidak mahu membuka aib sesiapa.
Pelantun lagu Cintaku 100% itu menafikan wujud orang ketiga dalam perkahwinannya selain masih berbaik dengan Sufian. Mas Idayu dan Sufian mendirikan rumah tangga selepas 15 tahun menjanda sejak pada September 2022.

16 hours ago
7

















































