Rampasan JKDM RM1.8 bilion, dadah paling tinggi diikuti rokok

22 hours ago 9

PETALING JAYA – Dadah merekodkan nilai rampasan tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November lalu dengan jumlah rampasan sebanyak RM478.5 juta.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, secara keseluruhan nilai rampasan dan cukai hasil penguatkuasaan JKDM bagi tempoh berkenaan mencecah RM1.8 bilion.

Beliau berkata, jumlah tersebut meningkat sebanyak 17.52 peratus atau RM268.46 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Bahagian Penguatkuasaan JKDM sentiasa komited untuk memperkukuh pematuhan undang-undang dalam membanteras penyeludupan yang boleh mengancam keselamatan dan ekonomi negara.

“Sehingga 30 November lalu, JKDM melaksanakan 122 operasi yang melibatkan sebanyak 6,597 perolehan kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Anis Rizana, JKDM akan terus melaksanakan tanggungjawab serta tidak akan berkompromi dalam memerangi sebarang aktiviti penyeludupan yang akan menjejaskan kesejahteraan rakyat dan negara.

Selain dadah, beliau berkata komoditi lain yang turut mencapai nilai rampasan tinggi adalah kenderaan bernilai RM118.37 juta diikuti dengan rokok sebanyak RM96.3 juta, minuman keras dan bir bernilai RM33.53 juta, serta mercun dan bunga api berjumlah RM11.24 juta.

“JKDM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pemegang taruh atas sokongan padu yang diberikan.

“Khususnya kepada Kementerian Kewangan (MOF) serta agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas bantuan dan kerjasama berterusan yang dihulurkan,” katanya.

Sementara itu, Anis Rizana berkata JKDM mencatatkan satu lagi kejayaan fiskal apabila kutipan hasil negara bagi tahun ini bukan sahaja melepasi sasaran awal, malah turut mengatasi unjuran semakan semula MOF.

Katanya, unjuran hasil semakan semula yang ditetapkan MOF pada 10 Oktober lalu adalah RM73.26 bilion.

Namun Anis Rizana berkata, setakat 16 Disember, kutipan hasil JKDM mencecah RM73.27 bilion sekali gus melepasi angka semakan tersebut.

“Pencapaian itu turut mengatasi sasaran awal tahun yang ditetapkan pada RM67.25 bilion, dengan lebihan RM6.02 bilion atau 108.95 peratus berbanding unjuran asal,” katanya.

“JKDM akan terus komited meningkatkan kutipan hasil secara berterusan bagi menyokong agenda Malaysia Madani serta menyumbang kepada kemakmuran dan pembangunan negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |