Ramkarpal Singh wakili kes pelajar senior UPNM guna seterika wap panas cederakan junior

1 month ago 41

KUALA LUMPUR – Peguam Ramkarpal Singh mewakili pelajar senior Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pegawai kadet junior universiti itu dengan menekap seterika wap panas pada dada.

Perkara itu disahkan Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu pada sebutan semula kes tersebut dihadapan Hakim Egusra Ali di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Terdahulu Hakim Egusra menetapkan 4 Februari depan bagi sebutan semula kes itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin memaklumkan terdapat beberapa lagi dokumen tambahan berkaitan kes yang belum diserahkan kepada pihak pembelaan.

Mendengar perkara itu, Ramkarpal yang mewakili tertuduh Amirul Iskandar Norhanizan, 22, turut mengesahkan terdapat lagi beberapa dokumen yang belum diserahkan pihak pendakwaan kepada pihak pembelaan.

Sementara itu Ramkarpal ketika ditemui selepas prosiding kes dan ditanya mengenai representasi, beliau berkata setakat ini pihaknya belum mendapat arahan daripada anak guam untuk memfailkan sebarang representasi berhubung pertuduhan itu.

Semasa prosiding ibu dan bapa Amirul Iskandar turut hadir di mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Salman Mohd. Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika wap yang panas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di blok Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM, Kem Sungai Besi di sini pukul 11.45 malam pada 22 Oktober lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana daripada hukuman itu.

Hakim Egusra sebelum ini membenarkan tertuduh yang ketika itu tiada peguam diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Terdahulu Kosmo! melaporkan mangsa ditekap seterika pada bahagian dada selepas diminta menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan 22 Oktober lalu.

Rakaman percakapan mangsa berusia 20 tahun itu telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan mangsa juga diminta untuk membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaannya.

Sebelum itu, polis turut merampas seterika yang juga barang kes digunakan dalam kes buli dan mencederakan pelajar terbabit pada 22 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan lanjut turut dilakukan dengan merakam keterangan seramai 16 individu setakat hari ini.

Sebelum ini, Angkatan Tentera (ATM) menjalankan siasatan berkait kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM Sungai Besi yang disyaki dibuli dan didera oleh seorang penuntut senior. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |