WASHINGTON – Lebih 1,000 protes anti agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) berlangsung di seluruh Amerika Syarikat (AS) sepanjang hujung minggu ini selepas seorang ejen menembak mati ibu kepada tiga anak, Renee Good, yang mencetuskan kemarahan orang ramai, lapor akhbar The Guardian.
Orang ramai berarak semalam di bandar-bandar termasuk Boston, negeri Massachusetts; San Francisco, California; Portland, Oregon; Minneapolis, Minnesota, Austin dan El Paso di Texas; New York serta Washington, DC.
Di Minneapolis yang dilitupi salji, beribu-ribu orang melaungkan slogan: “Berhambus ICE!” serta turut melaungkan nama Good. Dengan tindakan protes yang dirancang di semua 50 negeri, acara diteruskan hingga hari ini.
Good mati ditembak di bandar Minneapolis, negeri Minnesota, Rabu lalu ketika menyertai salah satu daripada rondaan kejiranan yang menjejaki, memantau dan merakam aktiviti ejen-ejen ICE.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem dan pegawai-pegawai lain pentadbiran Presiden Donald Trump menuduh Good menghalang dan mengintip ejen-ejen ICE.
Menurut mereka, ejen tersebut melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri apabila Good cuba melanggarnya dengan kereta yang dipandu dalam satu tindakan keganasan domestik.
Pada semalam ketika hujan di Philadelphia, dua protes berasingan, kedua-duanya disertai beberapa ratus orang, berarak dari dewan bandaraya ke pusat tahanan persekutuan.
Kedua-dua kumpulan berkongsi matlamat sama iaitu agar ICE keluar dari komuniti Amerika dan menamatkan apa yang dilihat sebagai hasutan perang Presiden Donald Trump di Venezuela.
“Dari Venezuela hingga Minneapolis, apa yang kita lihat adalah sebuah rejim yang rakus dan sanggup membunuh rakyatnya sendiri dan membunuh rakyat asing untuk mengekalkan kuasanya,” kata Pengerusi Bersama cawangan Sosialis Demokratik Amerika bandar itu, Deborah Rose Hinchey.
Penunjuk perasaan turut berkumpul di luar deretan bangunan persekutuan di pusat bandar Los Angeles malam kelmarin ketika lampu carian helikopter polis dihalakan ke arah mereka di Alameda Street, lapor saluran berita CNN.
Sekumpulan penunjuk perasaan anti-ICE dilihat berarak dan melaungkan slogan-slogan di pusat bandar Austin, di luar sebuah bangunan persekutuan ketika pegawai penguatkuasa undang-undang bersenjata memakai topi keledar dan pelitup muka sambil memegang baton.
Penunjuk perasaan juga berkumpul di luar White House untuk membantah insiden tembakan tersebut ketika ramai yang bimbang kejadian serupa boleh berlaku pada masa akan datang. – AGENSI

10 hours ago
4


![[VIDEO] Harimau muncul lagi di Ulu Tembeling, mana pihak berwajib?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-11-at-5.46.39-PM.jpeg)














![[VIDEO] ‘Tinggi Siti melompat, tenaga memang no 1’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/ct.jpeg)































