Rafizi ingatkan Menteri Ekonomi jawatan dan pangkat hanya sementara

4 hours ago 1

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengingatkan Menteri Ekonomi baru dilantik, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir bahawa jawatan dan pangkat hanya bersifat sementara.

Rafizi yang meletak jawatan Menteri Ekonomi pada 27 Mei lalu berkata, peringatan itu diberikan selepas Akmal Nasrullah meminta pandangannya berhubung pelantikan sebagai Menteri Ekonomi.

“Akmal Nasrullah tanya pandangan saya. Saya ingatkan beberapa perkara sahaja. Kalau kita ambil sesuatu kerja, buatlah sehabis baik. Pujian dan makian orang tidak bantu kita di akhirat, hanya kerja yang ikhlas dan baik boleh jadi pahala.

“Sebab jawatan menteri dan timbalan menteri itu adalah satu jerat. Kalau kita culas, tidak amanah, kita yang dijerat. Kalau kita rajin, ikhlas, kerja kita ada kesan, maka ia menjadi jerat yang baik untuk mendapat pahala,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.

Dalam hantaran sama, Rafizi turut mengimbau hubungan panjangnya dengan Akmal Nasrullah yang disifatkan sebagai seorang sahabat sejak sebelum penglibatan aktif dalam politik.

Menurutnya, Akmal Nasrullah adalah junior beliau di sekolah dan hubungan profesional mereka bermula pada tahun 2009 ketika beliau menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Jelas beliau, Akmal Nasrullah ketika itu baru menamatkan pengajian dalam bidang ekonomi dan sains aktuari di Amerika Syarikat (AS) serta pernah menjadi sukarelawan kempen Presiden Barack Obama.

Beliau mendedahkan Akmal berulang kali memohon bekerja dengannya, namun ditolak pada peringkat awal kerana tidak mahu lulusan cemerlang itu ‘terperangkap’ dalam dunia politik ketika peluang kerjaya korporat masih luas.

Rafizi turut mendedahkan bakat terpendam Akmal Nasrullah melakukan penyamaran dalam menyelidik aduan rasuah atau penyelewengan serta sumbangannya dalam menghidupkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Bahru pada 2014.

“Masa berkempen di Johor Bahru, Akmal Nasrullah masih pakai kereta (Perodua) Kelisa berbelas tahun yang dia beli tunai bila balik dari AS. Saya cakap pada dia macam mana nak menang pergi kempen pakai Kelisa.

“Jadi kereta pertama yang dia beli di Malaysia adalah atas nama saya. Lepas jadi timbalan menteri baru dia jual kereta itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |