PETALING JAYA – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa diperas ugut sebanyak AS$100,000 (RM420,500) oleh pihak yang mengaku memiliki video lucah membabitkan dirinya.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau menerima ugutan melalui e-mel yang mendakwa video lucah tersebut melibatkan dirinya dengan seorang lelaki.
“Semalam saya dapat satu e-mel mengenai dakwaan video lucah saya dengan seorang lelaki. Video lucah datang lagi. Sekarang zaman kecerdasan buatan (AI), senang nak buat video dan gambar.
“Sekarang kita tahu kenapa (dalam Islam hukum hudud menetapkan untuk mensabitkan tuduhan zina, mesti ada kesaksian empat orang yang akhlaknya baik), sebab di zaman AI ini semuanya boleh dicipta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rafizi berkata, ugutan melalui e-mel tersebut menyertakan tangkap layar video lucah berserta kod QR untuk beliau membuat bayaran AS$100,000 sekiranya tidak mahu video itu disebarkan.
Menurut beliau, tangkap layar kabur tersebut memperlihatkan seorang lelaki, katil dan bilik, namun beliau dimaklumkan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen turut menerima ugutan sama.
“Dia (Wong Chen) beritahu kena ugut ada satu video lucah dengan lelaki juga. Kami sama-sama kongsi ‘screenshot’ (tangkap layar). Kami dituduh tidur dengan lelaki sama. Mereka buat laporan polis,” katanya.
Jelas Rafizi, beliau bagaimanapun percaya tujuan sebenar e-mel itu untuk menggodam peranti elektroniknya dan membuat fitnah lebih besar terhadapnya.
Beliau mendedahkan kerap berdepan dengan cubaan menggodam telefon dan komputer riba miliknya. Katanya, paling berbahaya adalah dengan menggunakan firma antarabangsa.
“Saya tidak rasa mereka menghabiskan jutaan ringgit untuk membayar firma AI membuat (menghasilkan) video lucah yang ada muka saya. Edit (sunting) video lama dan letak muka saya, kemudian ambil ‘screenshot’ (tangkap layar).
“Saya menjadi sasaran sebanyak empat kali dalam tempoh sembilan bulan lepas dan mendapat amaran daripada Apple pada 14 November 2024, 6 Mac, 25 Jun dan 3 September 2025,” kata beliau. – KOSMO! ONLINE