Prestasi beregu lelaki akan dinilai

12 hours ago 6

PRESTASI bawah tahap sebenar ditampilkan beregu-beregu lelaki kebangsaan pada Kejohanan Badminton All England nyata memberi kejutan kepada Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

Apa tidaknya, tidak ada satu pun daripada tiga beregu yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu melayakkan diri ke pusingan kedua apabila masing-masing terkandas seawal pusingan pertama.

Bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diletakkan sebagai sandaran untuk menamatkan kemarau kejuaraan dalam beregu lelaki sejak 2007 gagal mempamerkan aksi terbaik dan terpaksa akur pulang lebih awal.

Situasi sama turut menimpa pasangan No. 7 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang diharapkan sekurang-kurangnya melakar kejutan serta beregu muda sedang meningkat naik, Arif Junaidi-Yap Roy King.

Rexy berkata, keputusan melibatkan beregu lelaki kebangsaan bukanlah satu pencapaian yang baik, namun beliau menyifatkan ia mungkin disebabkan perubahan program di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Herry Iman Pierngadi.

“Memang satu keputusan yang kurang bagus untuk beregu lelaki kita. Ia (prestasi) akan dinilai bersama Herry dan (Muhammad) Miftakh yang berperanan sebagai jurulatih skuad beregu lelaki negara.

“Keadaan ini mungkin juga disebabkan ada perubahan dari segi program, jadi pemahaman daripada pemain masih belum sepenuhnya. Oleh itu, ia tidak dapat diaplikasikan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik tewas 16-21, 21-16, 18-21 kepada beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard manakala Wei Chong-Kai Wun terpaksa akur dengan gandingan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu apabila kalah 15-21, 8-21.

Sementara itu, hajat Arif-Roy King untuk melangkah ke pusingan kedua pada penampilan sulung mereka di All England disekat satu lagi beregu China, Huang Di-Liu Yang menerusi kekalahan 18-21, 21-16, 17-21.14

Read Entire Article
Pertanian | | | |