Presiden Mahkamah Rayuan tarik diri dengar rayuan Bersatu

1 hour ago 1

PUTRAJAYA – Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais hari ini menarik diri daripada mendengar rayuan berkenaan semakan kehakiman oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul untuk tidak mengosongkan empat kerusi Parlimen Sabah.

Sebelum ini, Bersatu memfailkan semakan kehakiman yang antara lain memohon supaya Johari mengisytiharkan empat kerusi Parlimen; Papar, Batu Sapi, Ranau dan Sipitang yang sebelum ini dimenangi calon parti berkenaan kosong kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, ketika bersidang bersama Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Azizah Nawawi dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Datuk Nallini Pathmanathan, Hakim Abu Bakar yang mengetuai panel itu menyatakan menimbulkan persoalan mengenai hubungan beliau dengan peguam, Tan Sri Azhar Azizan Harun dibangkitkan dalam prosiding akan datang.

Pada prosiding itu, Azhar hadir mewakili Bersatu yang memfailkan permohonan itu melalui Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya yang juga pegawai awam parti itu.

“Saya mengenali Azhar lebih 30 tahun. Bagaimanapun, saya percaya perkara ini tidak akan menimbulkan sebarang konflik kepentingan sehingga memerlukan saya menarik diri.

“Bagaimanapun, saya meminta peguam-peguam untuk menyatakan pendapat masing-masing jika berpendapat sebaliknya,” katanya.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili responden memaklumkan kepada mahkamah bahawa salah seorang anak guamnya keberatan sekiranya pendengaran permohonan tersebut terus didengar oleh Hakim Abu Bakar.

Firoz mewakili responden kedua hingga kelima iaitu empat ahli Parlimen terbabit iaitu Datuk Armizan Mohd. Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) manakala Johari diwakili Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Peguam Persekutuan Imtiyaz Wizni Aufa Othman.

Mendengar perkara itu, Hakim Abu Bakar memutuskan untuk menarik diri dan menetapkan esok (Selasa) untuk pengurusan kes berkenaan bagi menetapkan tarikh pendengaran baharu.

Ketika ditemui selepas prosiding, Azhar yang juga bekar Speaker Dewan Rakyat mengakui telah mengenali Hakim Abu Bakar selama lebih 40 tahun.

“Kami merupakan rakan sepengajian dan saling mengenali sejak 1982, hampir 43 tahun. Atas sebab itu, Yang Arif mengambil keputusan untuk menarik diri.

“Ada juga responden yang menyatakan ketidakselesaan sekiranya Hakim Abu Bakar terus mendengar kes ini. Bagaimanapun, tiada sebarang isu konflik kepentingan yang timbul,” kata peguam itu.

Bersatu memohon untuk membatalkan keputusan Johari menerusi surat bertarikh 16 Jan 2023 yang memaklumkan bahawa responden kedua hingga kelima telah menjelaskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi Parlimen di kawasan terbabit berdasarkan tafsiran Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Bersatu.

Bersatu turut memohon deklarasi bahawa keempat-empat ahli Parlimen tersebut telah terhenti daripada menjadi Ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan selain perintah agar Johari mengesahkan bahawa kerusi terbabit adalah kosong.

Pada November 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Bersatu untuk kebenaran merayu namun gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 4 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |