KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kehadiran Presiden FIFA bagaimanapun tidak bermakna hal berkenaan sukan bola sepak akan dibincangkan dalam sidang tersebut.
“Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ‘Macroeconomic Research Office ASEAN’, ‘The East Asia Business Council’ dan ‘Trilateral Cooperation Secretariat’.
“Ini selain daripada wakil yang menyertai tetapi tidak sebahagian daripada ASEAN termasuk Director-General of the International Labour Organization (ILO) dan Presiden FIFA… bola sepak yang tak akan dibincang dalam mesyuarat ASEAN,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) berhubung senarai pemimpin negara dan pertubuhan antarabangsa yang akan hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Terdahulu, Anwar berkata, sebanyak 11 negara ASEAN termasuk Timor-Leste akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Menurut beliau, lebih istimewa pada persidangan kali ini adalah negara-negara utama dari semua benua Asia, Amerika Syarikat, Eropah, Amerika Latin dan Afrika akan menyertainya.
Kata beliau, pemimpin yang hadir termasuk Perdana Menteri Australia, Premier China, Perdana Menteri Jepun, Perdana Menteri New Zealand dan Presiden Korea Selatan.
Kata beliau, Timbalan Perdana Menteri Rusia, Presiden Amerika Syarikat, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga hadir.
“Presiden Brazil, Perdana Menteri Kanada, Presiden Majlis Kesatuan Eropah dan Presiden Afrika Selatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE