Prasarana rugi RM20.6 juta akibat kecurian kabel sejak 2023

11 hours ago 4

PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengalami kerugian mencecah RM20.6 juta akibat kecurian kabel sejak tahun 2023.

Prasarana dalam kenyataan hari ini berkata, pada tahun lepas, sebanyak 41 kes kecurian kabel direkodkan manakala tahun ini pula jumlah tersebut meningkat kepada 69 kes, iaitu kenaikan sebanyak 68 peratus.

Menurut Prasarana, pihaknya memandang serius insiden kecurian kabel yang kerap menjejaskan operasi perkhidmatan rel serta memberi kesan langsung kepada jutaan pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang.

“Kesan sebenar isu ini melangkaui kerugian kewangan semata-mata, malah ia turut menyebabkan gangguan perkhidmatan, kelewatan perjalanan serta menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna pengangkutan awam yang tidak boleh dipandang ringan.

“Trend peningkatan kes juga semakin ketara. Peningkatan ini didorong oleh permintaan dan harga pasaran kabel, khususnya tembaga, yang semakin tinggi dan menjadikan jenayah ini lebih menguntungkan kepada sindiket,” ujarnya.

Mengulas mengenai isu ini, Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana, Idzqandar Abu Bakar berkata, kecurian kabel bukan sekadar isu kerugian kewangan, tetapi melibatkan keselamatan operasi.

“Aktiviti haram itu memberi kesan langsung kepada jutaan penumpang yang bergantung kepada perkhidmatan rel setiap hari. Setiap insiden kecurian menyebabkan operasi perkhidmatan terjejas kerana tren tidak dapat beroperasi seperti biasa.

“Kerja-kerja pembaikan serta penggantian kabel perlu dilaksanakan dengan segera bagi memulinkan sistem kritıkal dan memastikan perkhidmatan dapat kembali berjalan secara normal. Dalam situasi ini, penumpanglah yang paling terkesan,” ujarnya.

Tambah Idzqandar, isu kecurian kabel yang semakin membimbangkan ini bukan sahaja melibatkan operasi perkhidmatan rel kendalian Prasarana, malah turut menjejaskan operator rel lain serta syarikat telekomunikasi.

Sehubungan itu, beliau berkata Prasarana telah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan secara berterusan, daripada penempatan anggota keselamatan, rondaan bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Selain itu Prasarana turut memasang televisyen litar tertutup berteknologi tinggi, sehinggalah kepada pengujian penggunaan anjing pengesan di Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya.

“Kami juga telah bekerjasama dengan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bagi memperkukuh ciri keselamatan fizikal di lokasi-lokasi tertentu.

“Namun realitinya, dengan jajaran rel yang melebihi 200 kılometer, kamı tidak boleh menanganinya secara bersendirian tanpa sokongan ekosistem penguatkuasaan dan kawal selia yang lebih menyeluruh,” katanya.

Ujarnya, walaupun semua langkah mitigasi ini telah dan sedang dilaksanakan, kejadian kecurian masih berterusan, malah terdapat kes yang melibatkan individu yang sama berulang kali.

Prasarana menegaskan bahawa selagi sindiket jenayah ini masih mempunyai ruang untuk menjual kabel secara terbuka dan meraih kentungan yang besar, selagi itulah kes kecurian kabel akan terus berulang.

Keadaan ini katanya menuntut pendekatan nasional yang lebih tegas dan bersepadu, termasuk kawal selia lebih ketat terhadap rantaian penjualan kabel serta hukuman yang lebih berat terhadap pesalah berulang.

Sehubungan itu, Prasarana menyeru kerjasama semua pihak berkepentingan, termasuk agensi penguatkuasa, penggubal undang-undang, pemain industri dan orang awam untuk berganding bahu dalam menangani isu ini secara kolektif.

“Orang ramai turut digalakkan untuk segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, khususnya di kawasan jajaran rel, kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan pantas dan berkesan diambil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |