Polis tahan tiga lelaki, selesaikan kes samun Jengka 8

1 day ago 10

MARAN – Tidak sampai 24 jam, polis berjaya menyelesaikan kes samun bersenjata di Felda Jengka 8 selepas menahan tiga lelaki dalam beberapa serbuan berasingan semalam.

Ketua Polis Daerah Maran Superintendan Wong Kim Wai berkata, hasil maklumat awal dan risikan, polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan dalam beberapa siri serbuan di sekitar Jerantut dan Bandar Jengka.

“Tangkapan pertama dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari melibatkan dua suspek lelaki berusia 29 dan 51 tahun yang ditahan di sebuah rumah di Jerantut.

“Kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan 13 kes dadah dan dua kes jenayah. Tangkapan kedua pula dibuat pada pukul 2.15 petang dengan penahanan seorang lagi suspek berumur 30 tahun di daerah Maran.

“Suspek turut memiliki rekod lampau membabitkan satu kes jenayah dan enam kes berkaitan dadah,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian kelmarin seorang penyelia ladang melalui detik mencemaskan apabila diikat dan disamun sekumpulan lelaki bersenjatakan parang ketika berada di rumahnya di Felda Jengka 8 di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu itu mangsa mengalami kerugian sebanyak RM16,000 selepas barang kemas, telefon, kereta dan sejumlah wang tunai dilarikan suspek.

Dalam pada itu katanya, turut menyusul hasil daripada tangkapan itu ialah rampasan beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun serta barangan curi milik mangsa.

Katanya, antara barangan dirampas ialah beberapa helai pakaian dipakai suspek semasa kejadian, sebuah alat pemaku (nail gun), wang tunai RM1,000, serta seutas rantai dan gelang tangan yang ditemui tertanam berhampiran sebatang pokok pisang.

“Turut dirampas beberapa buah telefon bimbit milik suspek, telefon mangsa, dua kenderaan iaitu Perodua Kancil dan Proton Saga yang ditemui di ladang kelapa sawit Jengka 8, beberapa kad bank milik mangsa, anak kunci serta dua pasang selipar milik suspek.

“Kesemua suspek telah mengaku terlibat secara langsung dalam kejadian samun tersebut dan kini direman bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |