Polis syaki anak bunuh bapa berstatus bilionair  

16 hours ago 5

MADRID – Polis Sepanyol mengesahkan masih membuka kertas siasatan berhubung kematian mengejut pengasas empayar pakaian Mango, Isak Andic pada tahun lalu berikutan laporan bahawa anaknya kini suspek.

Andic, 71, meninggal dunia pada Disember 2024 selepas terjatuh pada ketinggian lebih 100 meter ketika mendaki bersama anak sulungnya, Jonathan di pergunungan Montserrat dekat Barcelona.

Polis mulanya menganggap kematian mangsa sebagai kes kemalangan, namun kini menyiasat Jonathan atas kemungkinan melakukan pembunuhan, lapor akhbar El Pais lewat semalam yang memetik pelbagai sumber.

Jonathan yang merupakan satu-satunya individu bersama bapanya pada masa kejadian, didapati memberi keterangan ‘tidak konsisten’ dalam dua kenyataan sehingga menimbulkan kecurigaan polis.

Dihubungi oleh AFP, sumber polis wilayah Catalan mengesahkan siasatan masih dijalankan, namun enggan memberikan butiran lanjut.

Akhbar harian Barcelona La Vanguardia, juga memetik sumber yang mempunyai pengetahuan tentang siasatan, melaporkan bahawa hakim secara rasmi menukar status Jonathan daripada saksi kepada suspek akhir September lepas. Polis sedang menyiasat kandungan telefon bimbitnya.

Polis juga mengambil keterangan rakan kongsi Isak Andic iaitu pemain golf profesional Estefania Knuth yang menggambarkan hubungan tegang antara bapa dan anak itu.

Laluan yang dilalui Isak Andic dan anaknya menghubungkan gua Salnitre di Collbato dengan biara Montserrat adalah laluan mudah yang popular dalam kalangan keluarga pada hujung minggu.

Keluarga Andic ‘yakin proses ini (siasatan) akan selesai secepat mungkin dan bahawa Jonathan Andic tidak bersalah akan dibuktikan’, demikian menurut jurucakap mereka yang dipetik El Pais.

Isak Andic, kelahiran Istanbul, adalah salah seorang orang terkaya di Sepanyol dengan majalah Forbes menganggarkan kekayaan beliau dan keluarganya berjumlah AS$4.5 bilion (RM19 bilion).

Andic membuka kedai pertamanya di Barcelona pada tahun 1984. Jenama Mango kemudian berkembang pesat di seluruh Sepanyol dan menjadi salah satu kumpulan fesyen terkemuka dunia. – AFP

Read Entire Article
Pertanian | | | |