PN Perlis serah keputusan kepada pusat

5 hours ago 2

ARAU – Perikatan Nasional (PN) Perlis menyerahkan sepenuhnya sebarang keputusan berkaitan perkembangan semasa politik negeri kepada kepimpinan pusat, sambil menegaskan tiada sebarang pakatan rasmi wujud bagi peralihan kuasa seperti yang diperkatakan di media sosial.

Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perkara yang berlaku ketika ini masih dalam peringkat perbincangan secara berhemah dan telah dimaklumkan kepada Pas Pusat, Bersatu Pusat serta kepimpinan PN di peringkat pusat.

“Sepanjang saya berada di Bangkok, saya mengikuti perkembangan semasa dan tidak menafikan ada sesuatu yang sedang dibincangkan, namun hakikatnya ia masih belum mencapai sebarang keputusan rasmi.

“Setakat pengetahuan saya, tidak wujud sebarang pakatan rasmi dalam kalangan wakil rakyat untuk peralihan kuasa seperti yang digambarkan di media sosial,” katanya di selepas menyampaikan sumbangan pendidikan Yayasan Fawwaz kepada pelajar cemerlang di Kubang Gajah di sini hari ini.

Menurut beliau, jika dibandingkan dengan situasi sebelum ini di peringkat Persekutuan, sebarang peralihan kuasa dibuat melalui persetujuan bersama dan akuan berkanun selepas keputusan parti, bukan secara individu dan berasingan.

Katanya, pendirian gabungan politik PN jelas bahawa segala keputusan mesti dibuat melalui parti sebelum dimaklumkan kepada Raja Perlis untuk pertimbangan selanjutnya.

“Jika ada individu yang dipanggil secara berasingan, itu adalah urusan individu tersebut, namun parti akan menyemak dan menilai sebarang tindakan mengikut peraturan serta disiplin parti,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri.

Ahli Parlimen Arau itu berkata, setakat ini tiada sebarang pakatan untuk menandatangani akuan berkanun secara kolektif dan jika wujud, perkara itu sudah tentu diketahui kepimpinan negeri.

Beliau menegaskan, keputusan berkaitan kepimpinan negeri termasuk jawatan Menteri Besar bukan ditentukan oleh individu, sebaliknya oleh parti dan akhirnya diperkenankan oleh Raja Perlis berdasarkan sokongan majoriti. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |