Piala Mirnawan jadi tumpuan antarabangsa

8 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Kekangan bajet menyebabkan jumlah penyertaan Piala Mirnawan 2025 dari 2 hingga 9 November ini terpaksa dihadkan biarpun mendapat sambutan luar biasa daripada pasukan antarabangsa.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, minat tinggi daripada negara luar membuktikan kejohanan itu diiktiraf sebagai antara pentas pembangunan remaja paling berprestij di rantau ini.

“Banyak negara mahu turut serta dalam Piala Mirnawan kerana mereka lihat ia platform terbaik untuk pendedahan pemain muda. Namun, penyertaan kita hadkan kerana kekangan bajet.

“Jika ada peruntukan lebih besar, kita boleh buka penyertaan kepada lebih banyak pasukan antarabangsa,” katanya semasa sidang akhbar penganjuran kejohanan di The Pearl, Kuala Lumpur semalam.

Menurut Subahan, kejayaan penganjuran Piala Mirnawan bukan sekadar menarik minat luar, tetapi juga menjadi simbol kekuatan struktur pembangunan hoki Malaysia hasil pelaksanaan Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) sejak hampir sedekad lalu.

“Kita dapat lihat hasil program ini sangat positif. Empat pemain lepasan NHDP kini sudah menembusi skuad kebangsaan senior, berbanding hanya seorang tahun lalu. Ini bukti pelaburan kita membuahkan hasil,” katanya.

Tambah beliau, program NHDP kini membabitkan 99 pusat latihan aktif di seluruh negara bagi kategori lelaki dan wanita, hasil kerjasama erat antara KHM, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Alhamdulillah, pusat latihan ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu, tetapi juga memastikan kesinambungan pemain remaja ke peringkat lebih tinggi. Kita mahu mereka berkembang dalam sistem yang tersusun,” jelasnya.

Sebagai rekod, Malaysia Tigers muncul juara edisi 2024, manakala Malaysia Speedy menamatkan saingan di tempat ketiga sekali gus memperkukuh reputasi kejohanan itu sebagai medan pembangunan terbaik di Asia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |