ISKANDAR PUTERI – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke saingan separuh akhir Piala FA dengan langkah penuh bergaya apabila menyingkirkan Penang PC 5-1 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim di sini sebentar tadi.
Turun dengan kemenangan tipis 2-1 pada aksi suku akhir pertama pada 17 Oktober lalu, Harimau Selatan yang memburu kejuaraan kali keempat nyata memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan meledakkan tiga gol menjadikan agregrat 5-1.
Sebaik visel dibunyikan, anak buah Xisco Munoz tampil garang menyerang kubu pertahanan Harimau Kumbang.
Setengah jam aksi berlangsung, meskipun asakan demi asakan ke kubu lawan, pemain tuan rumah gagal menghasilkan sebarang gol.
Pada minit ke-38, keampuhan kubu Penang FC akhirnya runtuh setelah penyerang sensasi, Bergson Da Silva tidak melepaskan peluang terhidang hasil bola muntah hasil rembatan Ignacio Mendez yang gagal ditampan Mohamad Ramdhan, sekaligus meletak tuan rumah di hadapan.
Dua minit berselang, Jonathan Silva pada mulanya ‘kecewa’ selepas gol yang dihasilkannya dibatalkan pengadil perlawanan Izzul Fikri Kamaruzaman namun bertukar gembira susulan pegawai di bilik video bantuan pengadil (VAR) melakukan semakan dan mengesahkan jaringannya.
Pada minit akhir babak pertama perlawanan, Eddy Israfilov menanduk mudah sepakan sudut dari Arif Aiman menewaskan Mohamad Hamdhan yang gagal menafikan gol itu sekaligus menghadiahkan gol ketiga kem Harimau Selatan.
Pada babak kedua perlawanan, Arif Aiman nyaris menambah luka pasukan pelawat pada minit ke-58 selepas rembatan kaki kirinya menerjah gawang gol namun pemain Harimau Kumbang menarik nafas lega apabila jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.
Meskipun ketinggalan tiga gol berbalas kosong, para pemain pemain Penang FC tidak mudah mengalah dengan membalas asakan ke kubu pertahanan juara hatrik Piala FA itu namun tiada sepakan penyudah dihasilkan sehingga visel penamat dibunyikan.
JDT akan bertemu Kuching City FC pada perlawanan separuh akhir yang dijadualkan awal bulan depan selepas wakil Sarawak itu menundukkan Terengganu FC dengan agregat 5-3 pada aksi timbal balik suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Negeri Petra Jaya, Sarawak hari ini.-KOSMO! ONLINE

4 hours ago
4





![[VIDEO] ‘Warden askar ada, hantu pun takut’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/Tangkap-layar-video-MRSM-Balik-Pulau-yang-inginkan-program-warden-bekas-tentera-diteruskan.jpeg)











































