LONDON – Chelsea akhirnya menemukan sinar di sebalik musim suram apabila melangkah ke final Piala FA, sekali gus membuka peluang terakhir untuk menyelamatkan kempen mereka tahun ini.
Kejayaan menewaskan Leeds United 1-0 dalam aksi separuh akhir nyata cukup bermakna, terutama selepas skuad The Blues melalui tempoh sukar tanpa jaringan dalam lima perlawanan liga berturut-turut.
Lebih menarik, kemenangan tersebut hadir hanya beberapa hari selepas pemecatan pengurus Liam Rosenior, dengan jurulatih interim, Calum McFarlane memuji reaksi pemain yang bangkit mempamerkan semangat juang tinggi dalam situasi penuh tekanan.
“Kami perlu bertahan dan menunjukkan karakter apabila mereka memberi tekanan. Perkara paling menggembirakan adalah karakter yang ditunjukkan pemain,” katanya.
Menurutnya, kemenangan tersebut menjadi bukti keinginan tinggi skuad Chelsea untuk kembali ke landasan kemenangan selepas melalui tempoh sukar.
Gol tunggal Enzo Fernandez pada minit ke-23 memastikan Chelsea kembali ke pentas final buat kali pertama sejak 2022, sekali gus menghidupkan peluang menjulang trofi pertama sejak 2018.
McFarlane mengakui kemenangan itu hadir tepat pada masanya ketika pasukan berada dalam keadaan tertekan dan memerlukan perubahan momentum.
“Kelegaan mungkin perkataan paling tepat. Kami mahu ubah momentum kerana prestasi kami sebelum ini tidak begitu baik.
“Kami tahu kami berada dalam situasi sukar, tetapi pemain mula menguasai permainan. Aksi penjaga gol juga sangat penting untuk memastikan kami kekal tanpa bolos,” katanya.
Kini, Chelsea bakal berdepan cabaran lebih besar menentang Manchester City di final, dengan McFarlane mengakui pertembungan itu menuntut usaha luar biasa daripada pasukannya.
“Ia satu cabaran besar kerana mereka pasukan hebat tetapi kami percaya boleh meningkatkan tahap permainan. Dalam perlawanan seperti ini, semuanya bergantung kepada karakter,” tambahnya. – AGENSI

9 hours ago
5















































