Bahagian Penguat Kuasa KPDN dicadang jadi jabatan

5 hours ago 5

CYBERJAYA- Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dicadang dinaik taraf menjadi sebuah jabatan dalam usaha memperkukuh peranan penguatkuasaan yang semakin mencabar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keperluan itu wajar dipertimbangkan berikutan skop tugas penguat kuasa kini bukan lagi kecil susulan melibatkan pelbagai isu merentasi kementerian.

“Kalau ditanya saya, Bahagian Penguat Kuasa ini dah sampai masa untuk naik satu ‘level’ jadi Jabatan Penguat Kuasa.

“Sebab saya tahu peranannya bukan lagi kecil, isu kepenggunaan, perdagangan domestik sudah jadi rentas Kementerian, bila jadi masalah, akhirnya semua akan cari siapa? Anda semua,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN dan Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0 di sini hari ini.

Menurutnya, peningkatan tanggungjawab yang semakin besar perlu disokong dengan kekuatan pasukan setara bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan.

“Saya harap Jabatan Perkhidmatan Awam dapat perhalusi perkara ini sebaiknya. Datuk Armizan Mohd. Ali (Menteri KPDN), bawa ke mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan bagi dukungan kepada cadangan ini.

“Dan kepada KSU (Ketua Setiausaha) KPDN, segera bincang dengan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam), saya akan sentiasa berada di belakang anda,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya undang-undang berkaitan pasaran digital termasuk mewujudkan akta khusus bagi menangani cabaran sektor berkenaan yang semakin kompleks.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan integriti dan akauntabiliti ekosistem digital terus terpelihara.

“Transaksi fizikal, urus niaga dalam talian juga mesti diurus dan dikawal dengan standard yang sama. Maklumat produk perlu jelas, harga perlu telus dan proses pemulangan wang mesti mudah serta adil.

“Kita tidak boleh membenarkan pasaran digital bergerak lebih pantas daripada peraturan yang mengawalnya.

“Maka, saya ingin mencadangkan supaya kita memperkukuh undang-undang sedia ada dan mempertimbangkan satu kerangka yang lebih menyeluruh, termasuk ke arah akta khusus bagi pasaran digital,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |