APMM bakal terima aset baharu bernilai RM1.5 bilion

4 hours ago 4

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menerima pelbagai aset strategik baharu bernilai lebih RM1.5 bilion bagi memperkukuh keupayaan agensi itu menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, antara perolehan utama melibatkan dua kapal induk (mothership) yang sedang dibina di Turki dengan nilai keseluruhan kira-kira RM800 juta, selain empat helikopter AW189 bernilai kira-kira RM700 juta.

Katanya, kerajaan turut meluluskan pemasangan radar baharu bernilai RM88 juta di Sabah selain beberapa bot laju yang sedang dalam proses perolehan.

“Ini menunjukkan sokongan kerajaan terhadap APMM berlaku secara kukuh sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.

“Pengorbanan dari segi peruntukan ini berbaloi jika ia dapat meningkatkan keupayaan keselamatan negara kerana keselamatan tidak datang bergolek, sebaliknya memerlukan dasar yang jelas, peruntukan munasabah dan komitmen agensi,”katanya dalam sidang akhbar pada Program Jelajah Wira Madani APMM di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), di sini hari ini.

Menurutnya, dua kapal induk berkenaan dijangka siap pada awal suku pertama tahun hadapan dan bakal menjadi antara tarikan utama sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA).

Dalam pada itu katanya, aset besar seumpama itu penting bagi menghadapi cabaran maritim global termasuk jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia.

Selain itu katanya, ketegangan geopolitik di Laut China Selatan serta ancaman penangkapan ikan secara haram dan pencemaran laut turut memerlukan kesiapsiagaan berterusan.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian sebagai zon aman, bebas dan berkecuali dalam menangani isu keselamatan perairan serantau termasuk di Selat Melaka.

“Kita tidak membenarkan mana-mana kuasa besar menentukan atau memaksakan dasar mereka ke atas Malaysia.

“Kita akan terus menyatakan pendirian berdasarkan kepentingan negara dan memastikan keselamatan Selat Melaka yang menjadi laluan penting perdagangan dunia terus terpelihara,”ujarnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |