‘UMNO tarik sokongan bukan untuk tebuk atap, gila jawatan’

8 hours ago 5

PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan pendiriannya menolak sebarang usaha menubuhkan kerajaan menerusi kaedah ‘tebuk atap’.

Ia susulan kemelut politik yang tercetus di Negeri Sembilan selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Menurut beliau, prinsip tersebut konsisten dengan pendiriannya sejak dahulu, termasuk ketika krisis pertukaran Menteri Besar di Perlis yang pernah menyaksikan tindakan serupa dikecam hebat oleh pelbagai pihak termasuk penyokong parti sendiri.

Katanya, ketika krisis di Perlis berlaku, ramai penyokong politik mengecam tindakan ADUN yang menyokong pertukaran Menteri Besar sehingga ada yang dipecat daripada parti, selain desakan supaya pilihan raya negeri diadakan semula sebagai tanda protes terhadap tindakan ‘tebuk atap’.

“Prinsip saya jelas. Jika UMNO menarik sokongan daripada kerajaan perpaduan, ia bukan kerana gila jawatan atau mahu menebuk atap, tetapi kerana tidak bersetuju dengan tindakan pihak tertentu.

“Kita mesti menghormati mandat rakyat. Jika kerajaan tumbang akibat penarikan sokongan, maka serahkan semula kepada rakyat melalui pilihan raya, bukannya menubuhkan kerajaan baharu melalui pintu belakang,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Akmal berkata demikian untuk mengulas perkembangan politik Negeri Sembilan apabila timbul dakwaan bahawa 14 ADUN BN menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, sekali gus mencetuskan spekulasi kemungkinan perubahan pentadbiran.

Isu itu timbul apabila beberapa pihak melihat kemungkinan wujud kerjasama baharu antara BN dan Perikatan Nasional (PN) di negeri berkenaan, susulan sokongan yang boleh diberikan oleh ADUN pembangkang.

Bagaimanapun, Akmal menegaskan kerjasama politik antara parti-parti Melayu boleh dipertimbangkan, namun ia perlu dilakukan secara terhormat menerusi pilihan raya dan bukannya melalui langkah politik menjatuhkan kerajaan sedia ada tanpa mandat baharu.

“Apabila ADUN PN boleh menyatakan sokongan kepada BN, ini perkembangan baik untuk parti-parti Melayu duduk bersama.

“Tetapi duduk bersama bukan dengan cara tebuk atap. Saya tetap berpendirian kerjasama itu perlu diterjemahkan melalui pilihan raya,” ujarnya.

Tambah beliau, sikap segelintir penyokong taksub yang menghalalkan tindakan tertentu apabila menguntungkan pihak sendiri, namun menentangnya apabila merugikan, hanya menunjukkan perbezaan antara politik berprinsip dan politik kepentingan.

Terdahulu, polemik di Negeri Sembilan mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pemerhati politik mengenai kemungkinan perubahan landskap kuasa negeri sekiranya sokongan terhadap kerajaan sedia ada berubah.

Namun setakat ini belum ada pembubaran Dewan Undangan Negeri diumumkan.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |