MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia selepas dikatakan terjatuh ke dalam longkang rupa-rupanya cuba menyelamatkan adiknya sebelum dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Taman Ayer Keroh Heights, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.51 petang itu, Muhammad Loqman Afandi, 12, dipercayai bermain bersama adiknya dan dua lagi rakan di kawasan longkang berhampiran rumah mereka pada pukul 4.30 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, insiden berlaku apabila adik Loqman, Muhammad Adam Afandi, 10, dikatakan terlebih dahulu terjatuh ke dalam longkang lalu dihanyutkan arus deras.
“Ketika itu cuaca hujan renyai, namun arus longkang deras. Semasa kejadian, Adam telah hanyut dibawa arus air dan melihat keadaan itu, Loqman dan seorang rakan dikenali sebagai Yuvanath cuba menyelamatkan Adam.
“Namun keadaan arus air yang deras telah mengakibatkan Adam, Yuvanath dan Lokman hanyut dibawa arus. Seorang lagi rakan bernama Arash berusia 10 tahun semasa kejadian berada pada jarak sedikit jauh daripada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, Adam dan Yuvanath bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri, manakala Loqman terus dibawa arus deras longkang berkenaan.
“Adam kemudiannya mendapatkan bantuan daripada jiran berhampiran dan memaklumkan kejadian itu kepada keluarga.
“Panggilan kecemasan dibuat pada pukul 5.51 petang dan sepasukan bomba tiba di lokasi kira-kira pukul 6.10 petang bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat,” ujarnya.
Katanya, Loqman ditemui selepas kira-kira 20 minit operasi dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum diberikan bantuan pernafasan (CPR) oleh pasukan penyelamat dan dikejarkan ke Zon Merah Hospital Melaka.
Christopher berkata, pada pukul 8.09 malam Loqman bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayatnya telah diserahkan ke Jabatan Forensik untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Ujarnya lagi, setakat ini tiada unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
4















































