Hasrat nikmati persaraan berkecai, pesara guru rugi RM1.01 juta

8 hours ago 5

KUANTAN – Hasrat seorang guru untuk menikmati tempoh persaraan dengan tenang dan gembira berkecai apabila dia mengalami kerugian kira-kira RM1.01 juta selepas diperdaya sindiket penipuan melalui panggilan telefon.

Dalam kejadian itu pesara guru berkenaan berputih mata apabila wang simpanan peribadi, wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), wang hasil jualan rumah, wang pinjaman peribadi, gadaian barang kemas serta hasil pelaburannya lesap sekelip mata.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula 6 September lalu selepas mangsa menerima panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai wakil sebuah syarikat jualan dalam talian.

“Talian mangsa kemudiannya disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dan mangsa dimaklumkan kononnya terlibat dalam kes penggubahan wang haram serta penjualan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepada penjenayah.

“Bagi memperdayakan mangsa, suspek mengarahkan mangsa membuat akaun sumpah dan laporan polis melalui panggilan telefon serta merakam suara mangsa kononnya sebagai pengakuan,”katanya di sini hari ini.

Menurut Yahaya, mangsa kemudiannya diugut dengan dua pilihan sama ada ditangkap dan direman atau menyerahkan kesemua harta miliknya.

Jelasnya, akibat ketakutan, mangsa telah membuat sebanyak 122 transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun bank sepanjang tempoh daripada 6 September 2024 hingga 5 April 2026 dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM1,014,000.

Katanya, mangsa juga diarahkan untuk melapor diri sebanyak enam kali setiap hari, iaitu setiap tiga jam serta dilarang sama sekali memaklumkan perkara tersebut kepada mana-mana pihak.

“Kerugian tersebut melibatkan wang simpanan sendiri, simpanan KWSP, hasil penjualan rumah, wang persaraan, pinjaman peribadi, gadaian barang kemas serta pelaburan dan simpanan lain milik mangsa,”katanya.

Sementara itu beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

Katanya, masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |