Piala Dunia: England akui hadapi laluan berliku

6 hours ago 4

WASHINGTON – Pengendali England, Thomas Tuchel mengakui pasukannya diundi dalam kumpulan yang sukar selepas ‘dijodohkan’ dengan seteru utama, Croatia dalam Kumpulan L saingan Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung pada Jun depan.

Menurut Tuchel, pasukannya perlu waspada dengan ancaman yang boleh diberikan oleh Croatia yang dianggap sebagai ‘pakar’ dalam mengharungi kejohanan bertaraf antarabangsa selepas bergelar finalis edisi 2018 dan berada di tempat ketiga pada 2022.

Tuchel berkata, fokus utama sekarang bukan memikirkan tentang kekuatan pasukan lawan sebaliknya pasukan perlu sedia daripada segi mental dan fizikal dalam misi lolos ke peringkat kalah mati.

“Saya rasa apa yang penting adalah keinginan pasukan untuk mencapai sasaran dalam kejohanan ini dan kita tidak perlu risau apa yang akan dilakukan oleh negara pesaing atau pasukan yang berada di kumpulan lain.

“Namun, harus diakui Croatia adalah pasukan yang sukar kerana kita ada sejarah buruk dengan mereka selepas tewas pada separuh akhir Piala Dunia 2018.

“Secara peribadi, pertembungan kedua-dua pasukan ini sepatutnya berlaku pada aksi suku akhir, tetapi kini kami tidak boleh mengelak lagi dan perlu hadapi segala cabaran jika mahu bergelar juara,” katanya.

Sementara itu, pengendali Argentina, Lionel Scaloni pula mengambil pendekatan untuk bertenang selepas misi pasukan untuk mengekalkan trofi Piala Dunia nampak mudah apabila diundi dalam Kumpulan J bersama Algeria, Austria dan Jordan.

Scaloni mengakui undian kali ini memihak kepada pasukan, tetapi dalam masa yang sama menyifatkan masih ada kejutan yang boleh diberikan oleh negara-negara kurang ternama itu nanti.

“Saya rasa undian kali ini sama seperti edisi 2022 yang mana kita tidak boleh pandang rendah dengan mana-mana pasukan (selepas tewas kepada Arab Saudi di peringkat kumpulan).

“Justeru, saya mahu semua pemain bekerja keras kerana satu bola pun kita tidak boleh hilang di atas padang jika mahu kekalkan kejuaraan kali ini,” katanya.

Jika berjaya lolos ke peringkat kalah mati, La Albiceleste akan bertemu negara yang diletakkan dalam Kumpulan J seperti Sepanyol, Uruguay, Arab Saudi atau Cape Verde. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |