TAIPING – Dua individu yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah pesawat ringan di sini semalam kini dilaporkan stabil setelah menerima rawatan di Hospital Taiping.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping menerima laporan berhubung kejadian tersebut pagi semalam.
“IPD Taiping mengesahkan menerima maklumat berhubung insiden kemalangan pesawat ringan melibatkan dua individu di kawasan lapang berhampiran Lapangan Terbang Tekah di sini.
“Pada 7 Disember 2025 lebih kurang pukul 10.30 pagi, anggota bertugas di cawangan Pusat Kawalan Daerah telah menerima maklumat melalui sistem NG MERS 999 tentang kemalangan sebuah pesawat ringan microlight.
“Ia melibatkan dua individu yang mengalami kecederaan di kawasan lapang berhampiran Lapangan Terbang Tekah, Taiping,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan bahawa kedua-dua mangsa iaitu jurulatih penerbangan Mohd. Faizal Mohd. Sayed, 48, dan pelatih Kumar Amit, 40, keluar daripada pesawat yang terhempas dan mengalami kecederaan patah kaki.
Dalam pada itu, mengulas lanjut, Mohamad Nasir berkata, kedua-dua invividu terlibat telah dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.
“Sejurus menerima maklumat tersebut, sepasukan polis dari IPD Taiping telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemantauan dan penilaian awal.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa termasuk menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan bagi memastikan tindakan kawalan risiko dan keselamatan penduduk sekitar dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya.
Beliau berkata, polis daerah Taiping menyeru kepada masyarakat iaitu penduduk Taiping khususnya untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
4








![[VIDEO] Bila dah cuba baru tahu – Jojo](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-08-at-15.16.47_171df729.jpg)









![[VIDEO] Yusuf Azmi pucat lesi kalah TKO](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-08-at-11.52.42_d02f6338.jpg)






























