Peruntukan RM1 juta naik taraf infrastruktur Kampung Batu Arang – Mindef

6 hours ago 4

SELAYANG – Kementerian Pertahanan (Mindef) memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur menerusi Program Kampung Angkat Madani di Kampung Batu Arang.

Ketua Setiausahanya, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, peruntukan itu digunakan sepenuhnya untuk melaksanakan kira-kira 10 inisiatif melibatkan penambahbaikan fasiliti awam serta kemudahan asas yang menjadi keperluan masyarakat kampung berkenaan.

“Peruntukan RM1 juta ini adalah khusus untuk Kampung Batu Arang sahaja. Sekiranya program ini diteruskan pada tahun 2026, Mindef bersedia untuk meneruskan kerjasama dan melipatgandakan usaha penambahbaikan demi meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Semarak Rakyat Komuniti Madani di Padang Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Batu Arang, Selangor, hari ini.

Beliau berkata, Program Kampung Angkat Madani merupakan antara inisiatif penting kerajaan di bawah payung Semarak Rakyat Komuniti Madani yang memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.

“Kita mahu memastikan seluruh rakyat mendapat akses kepada kemudahan asas yang baik dan sempurna.

“Justeru, Mindef melalui agensinya telah memilih Kampung Batu Arang sebagai Kampung Angkat Madani,” ujarnya

Lokman Hakim berkata, Kampung Batu Arang dipilih kerana kedudukannya yang strategik selain mempunyai nilai sejarah dan warisan tersendiri di negeri Selangor.

Tambahnya, pelaksanaan projek di kampung itu turut melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat.

“Kerjasama erat ini berjaya meningkatkan keharmonian, kesepaduan dan kesepakatan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum yang tinggal di kawasan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendekatan ‘whole of government’ dan ‘whole of society’ yang dilaksanakan menerusi program berkenaan bukan sahaja memperkukuh pembangunan fizikal, malah menyumbang kepada keselamatan komuniti dan negara secara menyeluruh.

Terdahulu, Kampung Batu Arang dipilih oleh Mindef sebagai salah satu lokasi Kampung Angkat Madani pada tahun 2025 bertujuan merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar serta meningkatkan kesejahteraan penduduk kampung melalui pelbagai kemudahan asas dan aktiviti komuniti. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |