WASHINGTON – Pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan rakan sejawatannya dari Russia, Vladimir Putin yang dijadual berlangsung di Hungary kini ditangguhkan, lapor laman berita The Sun UK semalam yang memetik kenyataan seorang pegawai White House.
Sebelum ini, Trump mendakwa bahawa beliau dan Putin telah bersetuju untuk bertemu di Budapest dalam tempoh beberapa minggu akan datang selepas satu panggilan telefon yang ‘sangat produktif’ dibuat minggu lalu.
Namun, seorang pegawai White House semalam mengesahkan bahawa tiada sebarang rancangan untuk mengadakan pertemuan antara Trump dan Putin dalam masa terdekat.
Keputusan itu dibuat selepas Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dijadualkan bertemu Menteri Luar Russia, Sergey Lavro, namun pertemuan tersebut turut dibatalkan.
Sebaliknya, kedua-dua mereka mengadakan perbualan telefon bagi membincangkan langkah seterusnya berhubung perang Ukraine.
Moscow menggambarkan panggilan itu sebagai satu perbincangan membina yang membincangkan langkah konkrit yang mungkin diambil untuk melaksanakan persefahaman antara Trump dan Putin.
Namun, disebabkan interaksi mereka baru-baru ini, ramai pihak berpendapat telah berlaku keretakan besar dalam komunikasi antara kedua-dua pihak.
Sumber yang mengetahui perkara tersebut percaya bahawa Rubio dan Lavrov mempunyai jangkaan yang sangat berbeza tentang cara menamatkan pencerobohan Russia dalam perbualan itu.
“Saya tidak mahu mengadakan pertemuan yang sia-sia,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval apabila ditanya mengapa pertemuan dengan Putin ditangguhkan.
“Saya tidak mahu membuang masa, jadi saya akan lihat apa yang berlaku,” katanya. – AGENSI