Pertempuran baharu meletus di Iran

23 hours ago 9

TEHRAN – Pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan  ketika orang ramai yang marah dengan situasi ekonomi di Iran terus menentang  pihak berkuasa, manakala pembangkang di luar negara menggesa rakyat untuk meningkatkan bantahan.

Protes selama 12 hari itu menggegarkan pihak berkuasa di bawah kepimpinan Ayatollah Ali Khamenei yang bergelut dengan krisis ekonomi selepas Iran  bertahun-tahun dikenakan sekatan dan sedang pulih selepas menentang Israel pada Jun 2025.

Protes yang bermula dengan penutupan bazar Tehran pada 28 Disember lalu selepas mata wang rial menjunam ke paras terendah itu merebak ke seluruh negara dan kini ditandai dengan demonstrasi berskala lebih besar.

Pihak berkuasa menyalahkan kekacauan yang berlaku terhadap perusuh, manakala ketua badan kehakiman berjanji ‘tiada kelonggaran’  dalam membawa mereka  yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. 

Semalam, seorang pegawai polis Iran ditikam mati berhampiran Tehran semasa usaha mengawal kekacauan, lapor agensi berita Fars Iran.

Reza Pahlavi iaitu anak lelaki Shah yang digulingkan dalam revolusi Islam 1979 dan tokoh pembangkang utama hidup dalam buangan berkata, angka penunjuk perasaan semasa protes semalam adalah yang terbesar dan ‘belum pernah berlaku sebelum ini’.

Beliau juga menyeru  protes baharu yang lebih besar pada petang ini.

Kumpulan pemerhati HRANA menerbitkan klip  video menunjukkan penunjuk perasaan di Kuhchenar,  wilayah Fars selatan bersorak ketika merobohkan patung bekas komander operasi asing Pengawal Revolusi, Qassem Soleimani yang terbunuh dalam serangan AS pada Januari 2020 dan diangkat sebagai wira negara oleh republik Islam itu.

HRANA melaporkan, mengikut kiraannya, protes berlaku di 348 lokasi dalam tempoh 11 hari yang lalu melibatkan semua 31 wilayah di Iran.

Ia juga menerbitkan video memaparkan orang ramai berkumpul lewat malam di bandar satelit Tehran di Karaj dan menyalakan api di jalanan serta gambar pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan protes di bandar Tonekabon, Laut Caspian.

Kumpulan Hak Asasi Manusia Iran  berpangkalan di Norway berkata,  pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata dan menyerang orang awam secara ganas semasa protes di Kerman semalam.

Penunjuk perasaan mengulangi slogan menentang kepimpinan ulama termasuk ‘ini adalah pertempuran terakhir, Pahlavi akan kembali dan Seyyed Ali akan digulingkan’, merujuk kepada Khamenei.

IHR berkata kelmarin bahawa sekurang-kurangnya 27 penunjuk perasaan termasuk lima remaja di bawah umur 18 tahun disahkan terbunuh dalam tindakan keras pihak berkuasa dan  memberi amaran bahawa angka kematian akan meningkat. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |