SAYA ingin bertanya soalan, wanita yang sentiasa berhadas seperti istihadah dan keputihan berterusan, wuduknya hanya sah untuk menunaikan satu solat fardu dan boleh digunakan untuk beberapa solat sunat. Persoalan saya, saya mempunyai masalah istihadah yang berpanjangan dalam beberapa tahun dan mempunyai banyak baki solat ditinggalkan sebelum ini. Adakah saya perlu berwuduk dan bersuci bagi setiap satu solat qada yang hendak dilakukan?
JAWAPAN: ISTIHADAH termasuk dalam golongan daim al-hadath (sentiasa dalam keadaan berhadas).
Dari segi bahasa Arab terdapat beberapa perkataan yang digunakan, antaranya salas bermaksud mudah, lembut dan ia juga merujuk kepada makna seseorang yang tidak mampu menahan air kencing.
Dari segi istilah daim al-hadath ialah golongan yang sentiasa dalam keadaan hadas, contohnya seperti orang yang menghidap kencing tidak lawas, sentiasa keluar mazi, mani, wadi, tahi, sentiasa terkentut, wanita mengalami istihadah, keputihan, buasir yang keluar dari dalam dubur dan keluar darah berterusan, darah keluar dari hidung berterusan dan sebagainya.
Menurut mazhab Hanafi, Syafi’i, dan Hanbali (mengikut pendapat yang sahih) mensyaratkan bahawa keadaan hadas itu mestilah berterusan sepanjang waktu solat fardu, sehingga orang yang berhadas tersebut tidak menemukan waktu sepanjang tempoh solat tersebut yang cukup untuk berwuduk dan menunaikan solat tanpa adanya uzur.
Begitu juga, menurut mazhab Maliki mensyaratkan paling kurang separuh waktu solat ke atas untuk mengambil hukum wuduk orang yang sentiasa berhadas.
Manakala Imam Ahmad dalam satu riwayat yang dipilih oleh sebahagian ulama Hanbali berpendapat bahawa seseorang boleh dianggap sebagai orang yang mempunyai uzur meskipun hadas itu tidak berterusan sepanjang waktu solat fardu.
Dalam hal ini, wanita istihadah termasuk dalam golongan yang sentiasa berhadas dan hukumnya sama seperti wanita ‘biasa’ ketika suci daripada haid dan nifas.
Mereka tidak terhalang daripada melaksanakan ibadah solat dan puasa. Begitu juga, syariat memberi keringanan kepada golongan ini iaitu ibadahnya tetap sah, meskipun keluar hadasnya secara berterusan dengan syarat mereka hendaklah bersegera bersuci setelah masuk waktu solat dan berniat untuk membolehkan solat, bukan mengangkat hadas dan segera menunaikan solat.
Secara asasnya, setiap Muslim yang meninggalkan solat sama ada dengan sengaja ataupun dengan keuzuran mereka wajib menggantikannya.
Dalam hal ini, tiada perbezaan antara orang sentiasa berhadas dengan orang sihat. Jika seseorang memiliki banyak solat ditinggalkan, maka dia hendaklah sedaya upaya menggantikan solat yang ditinggalkan tersebut mengikut kemampuannya.
Dalam melaksanakan hal ini, seseorang yang hendak mendirikan solat hendaklah memastikan dirinya suci daripada hadas, pakaiannya serta tempat solatnya suci daripada najis kerana ia merupakan syarat sah untuk mendirikan solat:
Menurut mazhab Hanafi dan Hanbali orang yang sentiasa dalam keadaan hadas boleh menunaikan lebih daripada satu solat fardu dan beberapa solat sunat dengan satu wuduk termasuk juga boleh mengqada beberapa solat yang tertinggal selagi masih dalam waktu solat tersebut dan tidak berlaku perkara membatalkan wuduk selain masalah hadas dialami tersebut.
Menurut pandangan mereka, wanita istihadah seperti hukum orang bertayamum iaitu dari segi ibadahnya terikat dengan waktu, maka orang yang sentiasa berhadas boleh melakukan apa sahaja jenis ibadah termasuk solat fardu, qada atau sunat selagi masih dalam waktu solat tersebut dan tidak terbatal wuduknya.
Manakala menurut mazhab Syafi’i, orang yang sentiasa berhadas tidak boleh menunaikan lebih daripada satu solat fardu dengan satu wuduk, sama ada solat qada atau solat yang dilaksanakan pada waktunya. Dalam hal ini, dapat difahami wuduk orang yang sentiasa berhadas ini hanya sah untuk satu solat fardu atau qada atau nazar dan boleh melakukan beberapa banyak solat sunat.
Oleh itu, wanita istihadah pada setiap kali hendak melaksanakan solat fardu atau qada hendaklah bersuci terlebih dahulu iaitu menyumbat kemaluannya dengan kapas dan membalutnya seperti orang yang sentiasa berhadas dan berwuduk setelah masuk waktu solat seperti orang bertayamum kemudian bersegera menunaikan solat.
Kesimpulannya, setiap Muslim yang meninggalkan solat sama ada dengan sengaja ataupun dengan keuzuran mereka wajib menggantikannya.
Dalam hal ini, tiada perbezaan antara orang yang sentiasa berhadas dengan orang yang sihat iaitu jika seseorang memiliki banyak solat yang ditinggalkan, maka dia hendaklah menggantikan mengikut kemampuannya.

1 month ago
38







![[VIDEO] Pelajar IPT maut kemalangan tiga buah kenderaan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-19-at-3.36.53-PM.jpeg)










![[VIDEO] ‘Nasib tak kena lempang dengan bomba’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-19-at-10.52.09-AM.jpeg)






























