Perjuangan 15 tahun pembantu setiausaha genggam PhD

2 hours ago 3

PETALING JAYA – Siapa sangka, wanita yang bertugas sebagai Pembantu Setiausaha Pejabat Gred N1 di Universiti Teknologi Malaysia berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) selepas hampir 15 tahun berjuang tanpa cuti belajar.

Anak kelahiran Batu Pahat, Dr. Norliyana Zakaria, 36, berkata, perjalanan akademiknya bagi tempoh itu bermula dari diploma, kemudian ke ijazah, sarjana dan akhirnya PhD.

Beliau memulakan pengajian PhD pada tahun 2019, atas dorongan amanat arwah ayah yang mahu melihat dirinya bergelar Dr suatu hari nanti.

Bagaimanapun Norliyana yang memiliki dua orang anak mendedahkan, cabaran terbesar terpaksa dihadapi sepanjang tempoh itu ialah membahagikan masa antara kerjaya sepenuh masa, keluarga dan pengajian.

“Ada hari yang terasa sangat panjang, pagi dimulakan dengan tanggungjawab kerja, malam pula dihabiskan dengan penulisan tesis atau jurnal selepas anak-anak tidur.

“Tujuh hari seminggu penuh dengan pelbagai urusan, tanpa banyak ruang untuk diri sendiri. Kadangkala saya menulis sambil tahan mengantuk dan menyambung tanggungjawab sebagai suri rumah tangga di awal pagi,” kongsinya.

Menurut Norliyana, perjalanan kerjayanya selama 13 tahun di UTM juga tidak mudah, namun dia tidak menjadikan itu sebagai alasan malah terus cuba menambah baik potensi diri dengan ilmu.

Tidak hairanlah beliau selama tiga tahun berturut-turut (2023 hingga 2025) berjaya meraih Anugerah Perkhidmatan Cemerlang daripada UTM mengikut peringkat.

“Saya pernah lebih 10 kali menghadiri temu duga dan memohon jawatan yang setara dengan kelayakan akademik, namun sehingga kini belum rezeki saya untuk dinaikkan ke gred lebih tinggi.

“Saya tidak jadikan itu alasan untuk berhenti berusaha. Kerana itu selain memberikan komitmen yang baik ketika bekerja, saya juga tambah baik nilai diri dengan ilmu” jelasnya.

Terdahulu, kisah kejayaan Norliyana yang bekerja sebagai pembantu pejabat menggenggam PhD tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai pihak.

Kejayaannya itu meraih pelbagai respons positif orang ramai, namun ada juga yang mempertikaikan mengapa Norliyana masih menyandang jawatan berkenaan walaupun sudah bergelar Dr.

Mengulas mengenai perkara itu Norliyana berkata, beliau memahami persepsi masyarakat namun percaya pada ketentuan rezeki.

“Saya baru tamat PhD pada Februari lalu dan saya yakin rezeki akan datang pada masa yang tepat. Walaupun masih memegang jawatan sedia ada, saya tetap berbangga dengan tanggungjawab yang dipikul.

“Nilai seseorang bukan pada pangkat, tapi pada sejauh mana kita memberi makna melalui kerja dan dedikasi. Walaupun begitu, saya tetap mengharapkan tawaran yang lebih baik selaras dengan komitmen ketika bertugas dan kelayakan akademik terkini,” tambahnya. – KOSMO!ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |