KUALA LUMPUR- Perjanjian Kuala Lumpur (KL Accord) antara Thailand dan Kemboja yang dijadualkan dimeterai esok ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bukanlah satu perjanjian damai, sebaliknya memberi fokus kepada lanjutan genjatan senjata antara kedua negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selain perjanjian genjatan senjata, pemeteraian KL Accord juga akan memberi tumpuan kepada penubuhan pasukan pemerhati ASEAN yang akan ditempatkan di kawasan bergolak antara kedua negara.
“Kandungan KL Accord ia bukan perjanjian damai, ia merupakan perjanjian genjatan senjata dan juga berkenaan penubuhan pasukan pemerhati ASEAN di kawasan bergolak. Kita mahu genjatan senjata yang diadakan sejak Julai lalu selepas Perdana Menteri Thailand dan Kemboja datang (ke Malaysia) dan bersetuju untuk adakan genjatan senjata,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, blok ASEAN juga tidak mahu wujudya sebarang pelanggaran genjatan senjata selepas 28 Julai meskipun terdapat pelanggaran kecil yang dikesan tercetus di kedua-dua negara.
“Meskipun mereka tidak menggunakan senjata api tetapi mereka memakai lastik. Jadi, kita mahu supaya genjatan senjata ini (dimeterai).
“Jadi, antara kandungan (KL Accord) ialah genjatan senjata dapat dikekalkan dan dilaksanakan dengan baik selain kedua negara undurkan senjata berat dari kawasan berkenaan.
“Kedua ialah saya mahu kedua-dua negara melakukan usaha mengeluarkan usaha memusnahkan periuk api yang ditanam di sempadan, itu antara kandungan dokumen itu,” katanya.
Mohamad berkata, ASEAN juga berharap agar genjatan senjata yang dimeterai dapat dikekalkan selain menyeru supaya kedua negara terus berunding untuk menyelesaikan isu sempadan.
“Malaysia tidak akan campur tangan dalam perkara berkenaan sempadan, itu adalah perkara antara kedua negara dan Malaysia menghormati piagam ASEAN.
“Ia iaitu tidak boleh campur tangan dalam apa juga hal ehwal melibatkan negara masing-masing,” jelasnya.
Esok, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dijangka menghadiri majlis menandatangani perjanjian bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkaitan isu pertikaian sempadan kedua negara. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
5





![[VIDEO] Lelaki dipercayai sakit mental meluru ke arah keluarga diraja Thailand](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/Thai-Istana.jpg)











































